Thursday, 31 July 2014

KDN nafi dakwaan Malaysia tempat latihan Hamas

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan sebuah portal berita Israel kononnya Malaysia adalah tempat latihan untuk pejuang Hamas di Palestin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia tidak pernah menganjur sebarang latihan ketenteraan untuk mana-mana pihak selain dari negara-negara yang mempunyai perjanjian secara formal.

"KDN tidak pernah melatih mana-mana pejuang dari Hamas secara sulit melainkan ada program latihan di kalangan negara-negara yang mempunyai perjanjian secara formal dengan kita," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata laporan yang tidak berasas itu mempunyai niat jahat bagi memburukkan imej negara di mata dunia.

Sebuah akhbar dalam talian The Jerusalem Post semalam memetik kononnya seorang anggota Hamas Cell mengakui Malaysia adalah tempat latihan menyeludup dan membuat serangan sempadan negara dengan menggunakan payung terjun.

Laporan itu juga memetik kononnya anggota Hamas terbabit memberitahu Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka turut dilatih mengenai cara menculik anggota tentera dan ia adalah sebahagian persiapan Hamas untuk menentang serangan darat pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Semenanjung Gaza. 

Wan Junaidi berkata berita tidak sahih itu disifatkan sebagai satu dakyah jahat Shin Bet ekoran Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman Israel di Gaza.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. - Bernama

'Pejuang Hamas dilatih di Malaysia'

Gambar fail pejuang Hamas

KUALA LUMPUR: Seorang pejuang Hamas yang ditahan Israel mendedahkan dia menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa, menurut satu laporan Jerusalem Post.

Shin Bet (Agensi Sekuriti Israel) berkata suspek tersebut merupakan seorang komander sebuah unit Hamas yang berjaya ditahan di Khan Younis.

Pejuang itu memberitahu para penyiasat bahawa latihan yang diterimanya adalah sebahagian daripada persiapan Hamas untuk menentang Israel di Semenanjung Gaza.

Pejuang itu dikatakan menyertai Hamas pada tahun 2007 dan menjadi ahli sayap ketenteraannya yang bernama Izzadin Kassam.

Dia dilaporkan ke Malaysia pada 2012, di mana dia dan sembilan anggota Hamas lain menjalani latihan menerbangkan payung terjun berkuasa.

Shin Bet berkata pejuang Hamas itu menyertai unit rizab Hamas pada tahun yang sama dan telah ditugaskan untuk operasi-operasi khas.

Pada tahun 2013, pejuang Hamas itu menyertai unit elit dan menerima senapang Kalashnikov untuk dibawa bersamanya pada setiap masa.

Dia kemudian dilatih menggunakan senapang M-16, bom tangan roket dan bom lain.

Pejuang-pejuang tersebut juga telah diajar bagaimana untuk menculik askar dan cara peperangan dalam terowong.

Shin Bet berkata pejuang Hamas itu dijadualkan untuk melatih pejuang lain dalam kemahiran pertempuran bulan ini.

Sementara itu, ketika dihubungi Astro AWANI, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia tidak pernah menyediakan tempat mahupun menawarkan sebarang latihan kepada mana-mana pejuang Hamas atau kumpulan gerakan yang berjuang di negara bergolak.

Pergerakan Hamas juga menafikan tuduhan Shin Bet bahawa Malaysia melatih anggotanya untuk melancarkan serangan rentas sempadan. - Astro Awani