Monday, 28 July 2014

7 kawasan catat IPU tidak sihat setakat pukul 10 pagi

Tujuh kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 10 pagi.

KUALA LUMPUR: Tujuh kawasan iaitu Shah Alam, Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Tanjung Malim, Sri Aman, Sibu dan Samarahan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 10 pagi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), secara keseluruhan bacaan IPU di kawasan terbabit sedikit meningkat berbanding pada sebelah pagi, dengan hanya Sibu yang mencatat penurunan daripada bacaan sangat tidak sihat ke tidak sihat.

Setakat pukul 10 pagi, Shah Alam mencatat bacaan (103), Pelabuhan Klang (143) , Kuala Selangor (123), Tanjung Malim (104), Sri Aman (106), Sibu (195) dan Samarahan (103).

Terdapat 40 kawasan lain yang turut mencatat bacaan sederhana antaranya Pasir Gudang (51), Muar (59), Tanah Merah (79) dan Bandaraya Melaka (59).

Hanya lima kawasan mencatat IPU baik seperti iaitu Kota Tinggi (31), Larkin Lama (50), Langkawi (29), Sandakan (37) dan Tawau (46).

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Orang ramai boleh merujuk ke portal http://apims.doe.gov.my kendalian JAS untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. - Astro Awani 

Faizal Tahir ajar anak tak terlalu seronok sambut raya tahun ini

Faizal Tahir belum lagi merancang untuk menerbitkan single atau album baru buat masa terdekat

KUALA LUMPUR: Penyanyi serta pencipta lagu, Faizal Tahir mengakui bahawa tahun ini dia mengajar anak-anaknya agar tidak terlalu seronok menyambut raya susulan tragedi pesawat MH17 yang melanda negara dan perang di Gaza.

Menurut Faizal, ini adalah bagi menghormati rakan taulan dan ahli keluarga penumpang pesawat MH17 yang masih bersedih serta umat Islam yang ditindas di Palestin.

Penyanyi lagu Mahakarya Cinta ini berharap agar insiden malang yang melanda negara itu akan membawa seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam kesedihan.

“Persiapan raya tidak meriah sangat, ini kerana pelbagai perkara yang berlaku sekarang seperti MH17 dan perang di Gaza.

“Saya turut mengajar anak-anak saya agar tidak terlalu seronok menyambut raya tahun ini kerana masih lagi ada yang menderita dan bersedih” katanya yang ditemui ketika majlis perlancaran album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Fragmen di ibu negara baru-baru ini.

Faizal yang merupakan pencipta lagu ‘Aku’ dalam album Fragmen Siti mengakui bahawa buat masa sekarang dia selesa menulis lagu kerana ianya memberikan satu pengalaman baru buat dirinya.

Bapa kepada lima anak ini juga sudah lama tidak muncul dengan lagu baru turut memberitahu bahawa dia belum lagi merancang untuk menerbitkan single atau album buat masa terdekat.

“Buat masa sekarang saya sibuk dengan pembikinan lagu untuk beberapa artis. Jika kembali dengan lagu baru, saya akan pastikan karya saya berbeza dari dahulu dan lebih bagus” kata Faizal.

Selain Siti, Faizal turut mencipta lagu buat Aliff Aziz dan Faizul AF. - ASTRO Awani