Friday, 18 July 2014

MAS guna ruang udara Ukraine bukan untuk jimat minya

LIOW: 15 daripada 16 pesawat Asia menggunakan laluan ruang udara Ukraine. -Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 menggunakan laluan ruang udara Ukraine bukan kerana mahu menjimatkan minyak, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata MAS telah menggunakan laluan tersebut sejak bertahun-tahun lamanya dan pihak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tidak memaklumkan sebarang ancaman bahaya di laluan tersebut.

"Ia tidak benar," laluan itu telah diguna sejak berpuluh tahun oleh MAS dan banyak pesawat lain.

"15 daripada 16 pesawat Asia menggunakan laluan itu. Itu memang laluan yang diberikan ICAO.

"Mereka tidak memaklumkan apa-apa kepada kami mengenai laluan itu," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Mengulas keputusan MAS tidak menggunakan laluan tersebut hari ini, Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat kerana laluan tersebut sudah ditutup oleh pihak berkuasa negara tersebut.

"Laluan tersebut sudah ditutup," katanya.

Sementara itu Tiong Lai juga menjelaskan kerajaan masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi berhubung penemuan kotak hitam penerbangan MH17 seperti yang dilaporkan agensi berita luar negara.

"Saya ada dengar, tetapi belum ada pengesahan," katanya.

Pesawat Boeing 777 milik MAS penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas.

Kedudukan terakhir penerbangan MH17 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia dan ia dikatakan telah ditembak dari jarak jatuh.

Kawalan Udara Trafik (ATC) Ukraine memaklumkan ia terputus hubungan dengan pesawat itu pada 14:15 (GMT) atau 10.15 malam waktu Malaysia.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12:15 tengah hari Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada 6:10 petang Jumaat, waktu Malaysia. - Astro Awani 

MH17: Hati ada sedikit gentar, tulis penumpang sebelum pesawat terhempas

Hati ada sedikit gentar

Itu adalah antara ayat-ayat terakhir yang ditaip oleh seorang penumpang pesawat MH17 yang digunakan sebagai captionvideo yang kemudiannya dimuatnaik di laman Instagramnya sebelum pesawat itu terhempas di timur Ukraine pada Khamis..

Md Ali Md Salim, 30, yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam di Belanda, dalam perjalanan pulang untuk bercuti di Kampung Jayor, Pagoh di Johor.

Video dengan nama akaun @masa1777 berdurasi 15 saat itu dimuatnaik kira-kira pukul 12 tengahari waktu Amsterdam dengan caption: "Bismillah...#hatiadasikitgentar".


Video itu juga telah dimuatnaikkan oleh sumber lain di YouTube selepas kejadian.

Menurut kakaknya, Nurzazila Md Salim, adiknya menghubungi beliau sehari sebelum berlepas balik bertanyakan jika mempunyai sebarang barang untuk dipesan.

"Selalunya ada sahaja pesanan saya, tetapi kali ini saya tidak meminta apa-apa sebaliknya mengharapkan dia balik dengan selamat," kata Nurzazila yang telah berada di hotel di Putrajaya bersama ibu bapa dan keluarganya.

Tambah Nurzazila, Md Ali yang dijangka tamat pengajian pada tahun 2015 sangat rapat dengannya dan ibunya dan sering berkongsi sebarang masalah bersama.

"Dia sangat meminati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang katanya walau pun Siti telah berkahwin, dia tetap meminatinya," kata Nurzazila dalam kesedihan bercerita tentang minat adiknya itu.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata USM menzahirkan perasan sedih serta duka cita yang teramat kepada keluarga Mohd Ali dan semua krew serta penumpang pesawat berkenaan.

"Kepada keluarga Mohd Ali, saya ingin merakamkan takziah dan kesedihan dari seluruh warga USM dan saya secara peribadi turut merasai kehilangan yang amat sangat apatah lagi Allahyarham adalah pelajar cemerlang dan calon pensyarah di universiti ini nanti.

"USM juga sedia membantu apa jua yang boleh untuk meringankan tanggungan keluarga Mohd Ali dan akan sentiasa menghubungi keluarganya yang tinggal di Kampung Payor untuk mengikuti perkembangan," katanya di dalam satu kenyataan. - Astro Awani