Sunday, 25 May 2014

Bas bawa 45 penumpang jatuh gaung di Wang Kelian

KANGAR: Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.

Kelihatan beberapa anggota petugas penyelamat membantu mangsa-mangsa yang cedera selepas bas yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. -- Foto Bernama


Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kelihatan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) membantu seorang penumpang bas persiaran yang cedera selepas bas tersebut terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. -- Foto Bernama

Keadaan sebuah bas persiaran yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini. - Foto Bernama


Sumber: Bernama

Warga Nepal maut dihempap forklift dipandunya


Siasatan awal mendapati Gajendra hilang kawalan ketika mengundurkan forklift - Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu forklift warga Nepal maut dihempap kenderaan itu ketika mengundurkannya di sebuah kedai percetakan di Jalan Brunei, Pudu di sini hari ini.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, Insp Mohd Termizi Mues berkata dalam kejadian 8.30 pagi itu, Gajendra Lingden, 22, maut di tempat kejadian di hadapan kedai itu.

"Siasatan awal mendapati Gajendra hilang kawalan ketika mengundurkan forklift itu sebelum kenderaan itu terbalik dan menghempap kepalanya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

- Bernama