Thursday, 22 May 2014

Pengedar Rolls-Royce anggap Malaysia pasaran besar kereta mewah

Pengedar Rolls-Royce anggap Malaysia pasaran besar kereta mewah


KOTA KINABALU: Quill Motorcars Sdn Bhd, pengedar kereta Rolls-Royce di Kuala Lumpur, menganggap Malaysia sebagai pasaran besar untuk kereta mewah.

Pengurus Besarnya Siow Ser Gun berkata ekonomi Malaysia berkembang, sekaligus memudahkan lebih ramai penduduk membeli barangan mewah.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenal model pertama Wraith Roll-Royce di Sabah dan Sarawak, di sini hari ini.

Gregory Baker, Pengurus Lepas Jualan bagi Kereta Rolls-Royce Asia Pasifik, berkata syarikat itu mencapai kejayaan dalam jualan Rolls-Royce di Malaysia tahun lalu dengan permintaan rancak dari Sabah dan Sarawak.

"Saya gembira pembeli kereta kami di Sabah dan Sarawak dijaga oleh Quill Motorcars, yang berkemahiran tinggi dan menjalankan perkhidmatan servis bermutu tinggi ke atas kereta keluaran kami," katanya.

Baker berkata syarikat itu kekal antara pengeluar paling berjaya dalam segmen kereta ultra-mewah berharga lebih 200,000 euro (bersih).

Beliau berkata model Wraith dua pintu dianggap mempunyai daya pecutan kuat dilengkapi enjin turbo-kembar V12.

Model dengan kotak gear 8-kelajuan memudahkan pecutan 0-100 kilometer sejam dalam 4.6 saat sahaja, kata Baker.

- Bernama 

Wednesday, 21 May 2014

Dyana Sofya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik - Marina Mahathir

Datin Paduka Marina Mahathir (Gambar fail)


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai lebih ramai ahli politik muda kerana mereka membawa idea segar, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Dalam komen di laman Facebooknya, Marina berpendapat calon DAP di Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud lebih baik daripada kebanyakan ahli politik dengan kebolehan yang dimiliknya.

Katanya, beliau tidak faham kenapa banyak pihak menentang Dyana Sofya dan menganggap gadis itu sebagai terlalu mentah dan tidak berpengalaman hanya kerana calon DAP itu masih muda.

"Gadis ini sangat bijak. Beliau boleh berfikir, petah berkata-kata, dan beliau juga boleh menulis.

"Itu sudah tiga perkara, lebih baik daripada kebanyakan ahli politik," kata Marina melalui Facebook.

"Saya tidak faham mengapa ramai yang menentangnya hanya kerana beliau muda? Najib Razak (Perdana Menteri) menjadi menteri ketika berusia 26 tahun. Dyana hanya 27 tahun dan bertanding kerusi Parlimen. Kita perlu lebih ramai orang muda kerana mereka bawa idea segar," katanya.

Dyana Sofya menjadi tumpuan selepas DAP menamakannya sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.046 Teluk Intan menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Ada pihak yang mengkritik tindakan DAP meletakkan graduan lulusan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dyana Sofya dianggap sebagai pengkhianat dan tidak mengenang budi kerana memilih DAP sebagai parti pilihannya.

Sementara itu The Malaysian Inisder melaporkan Marina mempersoalkan kegagalan BN melahirkan calon muda seperti yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat.

"Saya tidak kisah apa parti beliau (Dyana), beliau muda, perempuan dan kita jarang lihat ia berlaku. Beritahu saya siapa yang sama tarafnya dalam BN?

"Adakah kita memilikinya, atau seseorang. Saya sokong perempuan muda," Marina dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

- Astro Awani