Thursday, 15 May 2014

Sungguh malang: Wanita maut selepas kain baju kurung termasuk dalam rantai motosikal


Polis Diraja Malaysia


KUANTAN: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang anak lelakinya hilang kawalan dan terjatuh setelah baju kurung yang dipakainya termasuk ke dalam rantai motosikal, dalam kejadian di Km 3, Jalan Simpang Pelangai-Simpang Chemomoi dekat Bentong pada Selasa.

Azizah Jamaludin, 40, dari Kampung Baru Simpang Pelangai, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Simpang akibat kecederaan yang dialaminya, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim ketika dihubungi di sini Rabu.

Katanya kejadian berlaku 1.10 tengah hari ketika dua beranak itu dalam perjalanan balik ke rumah.
"Akibat kain baju kurungnya termasuk ke dalam rantai motosikal, mangsa terjatuh ke belakang, manakala anak lelakinya yang berusia 20-an terjatuh ke sebelah kiri jalan," katanya menambah pemuda itu patah tangan kiri dan dirawat di Hospital Daerah Bentong.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang pengawal keselamatan terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah jip dalam kejadian lewat petang semalam.

Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian 6.25 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Beserah itu, Wan Ismail Wan Musa, 56, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Nahas berlaku semasa mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Karang Darat dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Beserah dan telah dilanggar dari tepi oleh jip terbabit yang datang dari arah sama," katanya.

Beliau berkata kes disisat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Kalau nak berdamai, lepas bersalin kita jumpa - Sharnaaz Ahmad


Lepas bersalin kita jumpa kata Sharnaaz Ahmad kepada Lisdawati



KUALA LUMPUR: “Terpulanglah kepada dia untuk keluar kenyataan apa pun. Saya tetap nak berjumpa selepas dia bersalin nanti. Apa pun dia nak cakap nanti, saya okay saja.

“Kalau nak damai, kita damailah…Tapi macam mana pun kena bertemu juga kata Sharnaaz Ahmad berikutan kenyataan yang dikeluarkan Lisdawati baru-baru ini.

Aktor berbakat besar, Sharnaaz Ahmad berkata dia tetap akan menunggu sehingga Lisdawati selamat bersalin untuk bersemuka dengan aktres itu bagi menyelesaikan konflik perselisihan faham antara mereka.

Menerusi laporan Harian Metro hari ini, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, memberitahu dia tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk bersemuka dengan Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi meskipun aktres itu telah mengeluarkan kenyataan sudah memaafkan Sharnaaz.

Bagaimanapun kata Sharnaaz, dia tidak akan mengganggu Lisdawati tetapi adalah haknya untuk berjumpa Lisda selepas aktres itu bersalin nanti.

Lisdawati dilaporkan sudah memaafkan Sharnaaz dan bersedia bersemuka atas perbalahan yang berlaku ketika penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Februari lalu.

Bertentangan dengan pendirian Lisdawati, suaminya pula difahamkan masih menunggu surat saman daripada Sharnaaz berikutan konflik itu.

Konflik pasangan Lisda dan Fauzi dan Sharnaaz bermula selepas Sharnaaz dikatakan menengking dan menyerang Lisdawati di lokasi penggambaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta pada 19 Februari lalu.

Fauzi kemudian menghantar mesej kepada Sharnaaz untuk meminta penjelasan berhubung perkara itu sebaliknya Sharnaaz dikatakan membalas pertanyaan itu dengan mesej berbaur ugutan dan provokasi. Itu menyebabkan bermulanya perbalahan antara kedua-dua pihak. -- Astro Gempak