Saturday, 19 April 2014

Orang ramai diminta berwaspada terhadap penularan MERS

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr N.K.S Tharmaseelan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan wabak "Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr N.K.S Tharmaseelan berkata tidak perlu bagi sesiapa untuk menukar rancangan perjalanan kerana MERS. Bagaimanapun, pelawat yang hendak ke negara-negara di atau dekat Timur Tengah hendaklah mematuhi langkah berjaga-jaga.

"Mereka hendaklah kerap mencuci tangan dan mengelak daripada orang yang sakit dan menutup hidung dan mulut apabila batuk atau bersin.

"Jika demam dan menunjukkan tanda-tanda jangkitan respiratori seperti batuk atau kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas melawat ke negara-negara di Timur Tengah atau negara jiran, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan terbaru mereka," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan bahawa seorang lelaki meninggal dunia pada 13 April akibat MERS-CoV, kes pertama seperti itu dilaporkan di Asean.

Lelaki itu baru pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah.

Tanda-tanda jangkitan MERS adalah seperti demam, kesukaran bernafas, radang paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

-- Bernama

Malaysia - Australia tandatangani perjanjian bahagi tugas


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Australia akan menandatangani satu perjanjian dalam menentukan tugas mengendalikan apa-apa penemuan yang berkaitan dengan pesawat MH370 termasuk kotak hitam.

Dalam satu laporan oleh New Straits Times (NST), Malaysia sedang menggubal perjanjian berkenaan demi melindungi keselamatan kedua-dua negara dari kesulitan undang-undang yang mungkin timbul semasa fasa pemulihan.

Kerajaan Malaysia berharap perjanjian tersebut dapat dimuktamadkan tidak lama lagi dan diluluskan pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

Pihak Canberra sedang mengkaji memorandum persefaham tersebut, kata laporan itu.

“ MOU tersebut akan menyatakan tugas dan tanggunggjawab masin-masing dengan terperinci” kata Ketua Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.

Azharuddin berkata lagi kepada NST , Malaysia akan mengetuai dalam kebanyakan penyiasatan yang dijalankan bersama bantuan oleh kerajaan Australia dan negara-negara lain.

Walaubagaimanapun, kata Azharuddin butiran mengenai perjanjian tersebut tidak boleh didedahkan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis dibuat terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

-- Agensi