Sunday, 30 March 2014

Proses mengesan kotak hitam bermula Isnin

Kapal ADV Ocean Shield milik Tentera Laut Diraja Australia pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling.


PERTH: Dengan jangka hayat hanya tinggal tujuh hari operasi mengesan kotak hitam pesawat MH370 merupakan keutamaan ketika ini.

Kapal ADV Ocean Shield milik Tentera Laut Diraja Australia hari ini sedang dipasang dengan pengesan kotak hitam dari tentera laut Amerika Syarikat.

Ia terdiri daripada satu Towed Pinger Locator 25 (TPL-25) dan satu kenderaan penyelam berautonomi Bluefin-21.



Towed Pinger Locator 25 (TPL-25) dan kenderaan penyelam berautonomi Bluefin-21.


Proses mengesan kotak hitam di kawasan pencarian di Lautan Hindi mempunyai pelbagai cabaran termasuk faktor masa berikutan bateri penyiar akan mati selain kawasan pencarian yang terlalu luas.

ADV Ocean Shield akan berlepas dari pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling pada Isnin bersama krew seramai sebelas orang dan akan mengambil masa tiga hari untuk tiba di kawasan pencarian.

Astro Awani 

Mayat seorang lagi mangsa lemas ditemui

BACHOK - Seorang remaja yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakan di pantai Kampung Kandis di sini semalam dijumpai mati lemas di pantai itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superitendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata mayat Mohd Lotfi Ibrahim, 14, dijumpai pada 6.20 pagi oleh pasukan mencari berhampiran tempat dia dilaporkan hilang.

"Mayatnya dihantar ke Pusat Kesihatan Bachok sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Rakan mangsa, Mohamad Arifin, 18, dijumpai mati lemas pada 12.15 tengah hari semalam oleh anggota bomba dan penyelamat Bachok yang melancarkan gerakan mencari sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.

Mereka dikatakan mandi di laut bersama empat lagi rakan yang selamat, apabila kejadian ombak besar berlaku.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Belukar, Pasir Mas datang ke pantai berkenaan untuk berkelah bersama lebih 200 anggota kumpulan Komuniti 1Malaysia kampung itu.

Abdul Hamid berkata gerakan mencari melibatkan lebih 50 anggota polis, jabatan bomba dan penyelamat, agensi penguatkuasaan maritim Malaysia dan jabatan pertahanan awam Malaysia. - Bernama