Monday, 24 March 2014

Duta Besar Perancis: Tiada bukti serpihan MH370

KUALA LUMPUR - Duta Besar Perancis Martine Dorance berkata tiada bukti jelas imej satelit yang dikesan pihak berkuasa negara itu baru-baru ini adalah serpihan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

"Setakat yang saya tahu, pada masa ini, tiada bukti ia sebahagian daripada pesawat berkenaan. (Bagaimanapun) kami akan terus membantu pihak berkuasa Malaysia," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Perancis merakam imej satelit yang mungkin merupakan serpihan sebahagian daripada pesawat MH370.

Kenyataan Kementerian Pengangkutan pada Ahad menyebut ia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek berpotensi di sekitar koridor selatan.

Gambaran itu merujuk kepada satu kawasan di selatan Lautan Hindi di mana satelit Australia dan China turut merakam imej objek yang berkemungkinan serpihan pesawat yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Ketika kejadian, penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Dorance berkata Perancis akan menggunakan pengalaman ketika menyiasat insiden pesawat Air France 447 bagi membantu Malaysia, termasuk khidmat bekas Ketua Jabatan Penerbangan Awam Perancis Jean Paul Troadec.

Perancis berpengalaman mengendali siasatan nahas Air France penerbangan 447 dari Rio de Janeiro ke Paris serta membawa 228 orang, yang menjunam ke dalam Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009.

Serpihan kapal terbang itu dikesan lima hari kemudian dan pasukan penyiasat mengambil masa dua tahun bagi mengeluarkan sebahagian besar bangkai pesawat serta mayat manusia dari dasar lautan.

Sementara itu, Duta Besar Switzerland ke Malaysia Dr Rolf Lenz, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, melahirkan simpati beliau atas kehilangan pesawat MH370.

Menteri Hal Ehwal Kaum Maori Dr Pita Sharples pula berkata New Zealand komited membantu Malaysia dan akan terus menyertai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.

"Terdapat kira-kira 26 negara termasuk New Zealand yang terbabit dalam operasi berkenaan dan menyaksikan mereka saling bekerjasama dalam menangani insiden ini adalah sesuatu yang amat baik," katanya.

Bernama

Penerbangan MAS ke Seoul dilencong ke Hong Kong

Mas (Malaysia Airlines)

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan pesawat MH006 syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Seoul, malam tadi, dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengurus Perhubungan Awam Media MAS Kharunnisak Dzun Nurin berkata pesawat Airbus A330-300 itu selamat mendarat di Hong Kong.

"Bekalan tenaga biasa terus dibekalkan menggunakan unit Kuasa Bantu dan kapal terbang itu kemudian dilencongkan ke Hong Kong untuk pembaikan dan mendarat dengan selamat," katanya.


MH066 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.37 malam dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 6.50 pagi waktu tempatan (5.50 pagi waktu Malaysia).

Beliau berkata kesemua 271 penumpang dari MH066 dipindahkan ke penerbangan lain.

"Penerbangan balik MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur dibatalkan dan penumpang dipindahkan ke pesawat lain di samping penerbangan berikutnya oleh Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur," katanya.

Bernama