Saturday, 8 March 2014

Syamsul, Puteri Sarah selamat nikah

Syamsul, Puteri Sarah selamat nikah
Upacara membatalkan air sembahyang Syamsul dan Puteri Sarah di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara pagi ini.- Foto FB Media Hiburan


DENGAN sekali lafaz, pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Mohd Yusof, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara hari ini.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Al Fadil Ustaz Mat Syaharuddin Al Rashid Mat Isa dengan mas kahwin berjumlah RM1,111 tunai tepat jam 10.31 pagi.

Majlis pernikahan tersebut menyaksikan pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran berupa senaskah Al-Quran, sepasang kasut, produk penjagaan wajah berjenama Kiehl’s, buah-buahan, kek, sirih junjung, beg berjenama Boss, komputer riba Macbook dan sepersalinan pakaian dari pihak Sarah.

Sementara itu, pihak lelaki pula membalas tujuh dulang hantaran berupa sepasang kasut, komputer riba Macbook, buah-buahan, seutas jam tangan, sirih junjung, telekung dan kek.

Pakaian pengantin ditaja oleh Cosry Couture dan majlis yang serba indah ini turut mendapat beberapa tajaan lain antaranya dari Nasyeed.Com, N’dah Mahligai, Khyro Design, Love Undefined Photography dan Ari Wedding Couture.

Hadir sama, Datuk Yusuf Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail, ahli keluarga kedua-dua mempelai serta sahabat handai termasuk rakan artis dan selebriti tanah air.

Begitupun, majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam ini di Dewan N’dah Mahligai Shah Alam terpaksa dibatalkan kerana kesihatan Syamsul yang masih lagi belum stabil.

Sinar Harian 

Malaysia Airports: Henti buat spekulasi, tunggu kenyataan rasmi

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini menyuruh orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kejadian pesawat Malaysia Airlines terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini.

MAHB berkata demikian di dalam laman Twitternya dan menyarankan orang ramai tunggu kenyataan rasmi daripada Malaysia Airlines.


Sejurus selepas berita kejadian itu tersebar, banyak spekulasi disebarkan dengan meluasnya di laman media sosial.

Ada yang menyebarkan berita bahawa pesawat tersebut telah mendarat di Nanning, China.

Walaubagaimanapun, Naib Presiden kawalan Operasi Malaysia Airlines mengesahkan bahawa berita tersebut adalah palsu.

Sementara itu, ramai orang termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut berkata orang ramai harus menunggu pengesahan rasmi dan mendoakan yang terbaik.







Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat Boeing 777 itu tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi.


"Malaysia Airlines sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa yang telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat berkenaan," kata kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu juga memberitahu akan memaklumkan perkembangan dari masa ke masa.

Ia menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talian +603 7884 1234 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Astro Awani