Thursday, 13 February 2014

Fenomena Ariana Rose

Keith Foo, Nur Fathia
Keith Foo dan Nur Fathia


DRAMA Ariana Rose telah mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan penonton apabila setiap kali drama siri ini bersiaran, ia berjaya mencatat kadar keseluruhan tontonan sebanyak 2.7 juta penonton.

Drama arahan Raja Alauddin Shah hampir sampai ke kemuncaknya malam ini.

Dibintangi ramai pelakon handalan seperti Keith Foo, Nur Fathia, Hisyam Hamid, Nabila Huda, Arja Lee dan ramai lagi.

Drama 28 episod yang akan melabuhkan tirainya hari ini mengisahkan tentang Ariana Rose yang menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita dengan tujuan untuk menggagalkan perkahwinan itu.

Malah pengakuan palsu Ariana itu ternyata telah memporak-perandakan majlis tersebut sehingga Tengku Adam berang dengan keadaan yang berlaku kerana dia memang tidak mengenali gadis itu.

Demi mengetahui kebenarannya, Tengku Adam mengupah pengintip upahan untuk menyiasat siapakah wanita yang telah melakukan pembohongan di majlisnya itu.

Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Adam nekad menculik Ariana dan kemudian, Tengku Adam meragut kesucian Ariana.

Pelbagai konflik melanda mereka sehingga dipertemukan sebagai suami isteri.

Menurut penerbit drama tersebut, Ziela Jalil berkata, drama tersebut merupakan adaptasi daripada buku The Wedding Breaker karya Evelyn Rose.

"Menyedari sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton, kami tidak pernah merancang untuk menyambung drama ini.

"Biarpun novel ini ada sambungannya, namun drama Ariana Rose tiada kesinambungan selepas ini," katanya ketika ditemui dalam tayangan eksklusif Ariana Rose, kelmarin.


Persenda agama?

Menyentuh kontroversi yang melanda drama tersebut mengenai pelakon utamanya, Keith Foo yang bukan beragama Islam tetapi perlu berlakon sebagai Muslim, Ziela berkata, pemilihan Keith menerajui watak Tengku Adam adalah bertepatan dengan watak dalam novel itu.

"Kami bukan sengaja mahu menimbulkan mempersendakan agama Islam kerana banyak perkara sensitif kami jaga.

"Sebagai contoh, Keith tidak membaca al-Quran atau solat tetapi hanya mengenakan baju Melayu untuk menggambarkan dia sebagai Muslim," katanya.

Tegas Ziela, sebelum memulakan penggambaran Keith telah mempelajari Islam supaya tidak bercanggah dengan agama ketika melakonkan wataknya itu.

"Bagi saya, setiap babak yang dilakukan sebaik mungkin untuk memenuhi cita rasa penonton.

"Kami sedar Keith bukan Islam tetapi agama tidak boleh dipermainkan dan perkara ini sangat saya titik beratkan sejak mula penggambaran," katanya.

Sinar Harian 

Padah bapa rakam anak tengah mandi

Rakam anak tengah mandi
Tertuduh melarikan diri bagi mengelakkan gambarnya dirakam media.


AYER KEROH - Padah merakam adegan anak perempuannya sedang mandi, seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki rakaman video lucah.

Hukuman itu diputuskan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun selepas mengangguk faham dan mengaku bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson W5801 yang mengandungi rakaman video lucah di sebuah rumah di Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar kira-kira jam 2.30 pagi pada 24 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, isteri tertuduh mengambil telefon bimbit milik tertuduh daripada anak lelaki mereka berusia empat tahun, kemudian mendapati terdapat rakaman video anak perempuan mereka berusia 12 tahun sedang berkemban sambil menggosok gigi untuk mandi.

Sebelum ini, isterinya juga pernah melihat rakaman anak perempuan mereka itu sedang tidur tetapi dipadam tertuduh, bimbang perkara lebih buruk berlaku wanita berkenaan membuat laporan polis.

Peguam Ishak Kari yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya yang telah insaf.

“Tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan kurang RM1,000 dan perlu menanggung anak serta ibu bapa, saya memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman rendah terhadapnya,” katanya.

Bagaimanapun, Nabilah meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira faktor tindakan tidak bermoral dilakukan tertuduh terhadap anak sendiri.

Selepas mendengar rayuan dan hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, Syajaratudur kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam hari dari tarikh ditangkap pada 5 Februari lalu dan denda RM1,400 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sinar Harian