Wednesday, 18 December 2013

Perginya sebutir bintang, ucap penggiat filem

Perginya sebutir bintang, ucap penggiat filem

Pemergian primadona filem Melayu, Azean Irdawaty diterima dengan tenang oleh penggiat seni tempatan.

Rata-rata selebriti mengucapkan takziah dan turut mengimbas kenangan manis sewaktu bekerjasama dengan Allahyarhamah.

Antara yang terawal ialah Ida Nerina, pelakon yang pernah membintangi filem Layar Lara pada tahun 1997.

Dalam filem tersebut, Ida membawakan watak pelakon muda Ena Manjalara yang mengagumi kehebatan pelakon veteran, Auntie Zai yang dibawakan dengan cemerlang oleh Allahyarhamah.

Kesedihan turut dikongsi Maya Karin, pelakon yang sama-sama membintangi filem Waris Jari Hantu dengan Allahyarhamah.

Bagi pelakon Syafie Naswip, kenangannya bersama Allahyarham dalam filem terakhir lakonannya Talentime suatu yang manis dan akan diingati sampai bila-bila.


Turut meluahkan kesedihan mereka ialah pelakon Fatimah Abu Bakar. Fatimah merupakan antara jurulatih lakon yang terlibat dalam filem-filem arahan Shuhaimi Baba termasuk Layar Lara.

Kekaguman pelakon generasi muda terhadap kerjaya Allahyarham sememangnya sukar untuk dinafikan.















Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal duniapada Selasa pukul 8.25 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Jenazah Allahyarhamah dibawa ke kediaman keluarganya beralamat 92, BU 11/7, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut wakil keluarga Allahyarhamah, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kayu Ara, Petaling Jaya dan kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.


Sumber: ASTRO Awani 

Permohonan BR1M 2014 dibuka dari 23 Dis hingga 31 Jan


KUALA LUMPUR: Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dibuka dari Isnin ini sehingga 31 Jan depan, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan di sini Selasa.

Menurut kenyataan itu penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

"Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN di www.hasil.gov.my.

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai 23 Dis ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Ketika pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.

Bernama