Thursday, 12 December 2013

Program Angkasawan Malaysia Kedua akan diteruskan - Ewon Ebin


Gambar fail angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersedia untuk berlepas dengan kapal angkasa SOYUZ TMA 11 dari Stesen Angkasa Antarabangsa Baikonur Cosmodrome di Kazakshtan. -- fotoBE


PUTRAJAYA: Program misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan penyelidikan saintifik akan diteruskan dan tarikhnya akan diumumkan pada masa yang sesuai kelak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata misi angkasa lepas kedua itu mendapat kerjasama Rusia, Jepun dan beberapa negara lain.

"Kerajaan tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan misi angkasa lepas kedua ini, buat masa ini, kementerian menerusi agensinya akan menganjurkan program-program kesedaran mengenai tujuan sebenar misi menghantar angkasawan kedua ke ISS dan implikasinya dari segi pembangunan sains dan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran Angkasawan bertema 'Memacu Aspirasi' selama sehari anjuran MOSTI dan Yayasan Angkasawan Malaysia di Pusat Maritim di sini Khamis.

Turut hadir Timbalannya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Angkasawan kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.

"Kementerian kini sedang merangka perincian-perinciannya menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama para saintis, ahli akademik, anggota politik, orang awam dan mereka yang berkaitan dalam menentukan apakah jenis penyelidikan yang sesuai dilakukan dalam misi angkasawan negara kedua ini nanti.

"Apa yang penting ialah perancangan yang rapi dan menentukan pengisian programnya demi memastikan ia membawa hasil kepada negara kerana orang ramai akan bertanya mengenai apakah hasil yang diperoleh dalam program angkasawan ini setelah membelanjakan wang yang banyak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata program pameran ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan melakukan penyelidikan di angkasa lepas dan pada masa yang sama Ewon menyeru pihak swasta memberi sokongan dan sumbangan dalam program angkasawan negara itu kerana ia dapat memberi sumbangan menerusi hasil penyelidikan saintifik.

BERNAMA 

Lagenda 115ZR taruhan baharu Yamaha - pada harga RM5,410

Lagenda 115ZR

ATAS komitmen yang tinggi dalam industri motosikal, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha Lagenda generasi kelima. Lagenda baharu ini menjadi harapan Yamaha untuk terus mendominasi pasaran tempatan selepas sepi seketika untuk menampilkan produk baharu berbanding pengeluar lain pada tahun ini.

Sejak dahulu lagi, Yamaha sudah dikenali sebagai pengeluar motosikal moped yang berkualiti dan prestasi. Inovasi berterusan Yamaha dalam pembangunan jentera dua roda memperlihatkan satu kecenderungan pengeluar itu ke arah teknologi mesra alam sekitar.

HLYM membuktikan usaha tersebut dengan membawa model yang mempunyai tahap pelepasan emisi rendah selain penggunaan bahan api yang ekonomi.

Baru-baru ini, saya telah diberi peluang untuk menguji produk terbaharu Yamaha, Lagenda 115 ZR. Dengan tagline ‘Feel The Difference!’, Yamaha cuba menyampaikan mesej istimewa pada Lagenda 115 baharu.

Daripada aspek rekaan, Lagenda 115Z tampil lebih sporty dan sofistikated. Rekaan lampu hadapan dan lampu belakang tampak lebih kemas berbanding model sebelumnya. Saya tertarik dengan warna biru ala jentera perlumbaan Yamaha.

Selain itu, Lagenda baharu menampilkan panel instrumen yang lebih teratur, rekaan pelindung kaki baharu dan ruang simpan bawah tempat duduk yang luas. Rim sports serlahkan imej dan membawa aura perlumbaan untuk tampil lebih bergaya.

Corak perjalanan dari kilang HLYM di Sungai Buloh menuju ke Shah Alam telah melengkapkan sesi tunggang uji kali ini. Dalam sepanjang perjalanan, saya melalui kawasan trafik yang sibuk dan lebuh raya.

Perubahan utama yang dapat saya rasai adalah berkaitan julat rev yang lebih teratur. Ia disebabkan oleh penggunaan sistem suntikan bahan api baharu. Penggunaan teknologi suntikan bahan api bukan sahaja memberikan prestasi yang cemerlang,
bahkan menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih optimum.

Kuasa enjin empat lejang SOHC 115cc dapat dirasakan daripada awal tunggangan. Saya tidak ada masalah dengan daya pecutan semasa berhenti di lampu isyarat. Kotak gear empat kelajuan berfungsi dengan baik, namun, ada beberapa kali saya sukar untuk menurunkan kedudukan gear. Mungkin kerana perbatuan motosikal ini belum lagi mencecah 1000 kilometer (km), minyak yang digunakan masih likat dan menyebabkan gelinciran gear.

Kuasa enjin silinder tunggal sejukan cecair cukup baik. Jumlah tork 9.9 Nm boleh membuatkan saya melakukan wheelie walaupun dalam gear kedua. Jentera ini boleh mencatatkan kelajuan maksimum 120 kilometer sejam (km/j). Pecutan akhir tidak terlalu membanggakan, namun tetapan ratio gear pendek Lagenda mempunyai kelebihan pada daya pecutan awal.

Daripada aspek pengendalian, secara keseluruhannya ia mudah dikendalikan. Jentera ini tidak berat dan tidak terlalu ringan. Lagenda 115ZR mudah dikawal dan saya cukup gemarkan tetapan kuasa yang diberikan. Karakter enjin pula lebih sesuai untuk digunakan sebagai moped di kawasan bandar.

Sebagai varian premium, Lagenda 115ZR didatangkan dengan beberapa kelengkapan ekstra termasuklah cahaya latar LED berwarna biru pada panel meter yang menarik pada waktu malam. Ruang kebuk simpan juga dilengkapi dengan lampu, perehat kaki boleh lipat dan juga tabung udara pada sistem suspensi belakang.

Yamaha Lagenda 115ZR dijual pada harga RM5,410 tanpa insurans dan cukai jalan. Motosikal ini disertakan dengan jaminan pengeluar selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000 kilometer. Manakala versi asas Lagenda 115Z dijual pada harga RM4,792.00 dan RM5,158 bagi versi tambahan set rim sports dan sistem penghidup elektrik.

Sinar Harian