Saturday, 23 November 2013

Kes bunuh dan culik: Pelancongan di Pulau Mabul tidak terjejas?

Salah sebuah resort di Pulau Mabul

Hasil tinjauan Astro AWANI mendapati aktiviti pelancongan di resort-resort di pulau berkenaan berjalan seperti biasa di mana ramai pelancong termasuk dari dalam dan luar negara masih mengunjungi pulau itu biarpun sedia maklum mengenai insiden berkenaan.

Menurut pihak pengurusan sebuah resort di pulau Mabul, walaupun selepas insiden berkenaan, tiada pengunjung yang membatalkan tempahan yang dilakukan termasuk pelancong dari China dan Taiwan.

Malah jumlah pelancong dikatakan ramai di pulau tersebut pada bulan ini yang secara lazim merupakan musim "kurang puncak" berikutan musim monson.

"Mereka hanya ingin tahu dan banyak menanyakan apa yang berlaku di Pulau Pom Pom dan di mana kedudukan pulau berkenaan. Namun selepas diberitahu kedudukan pulau Pom Pom adalah sebenarnya jauh daripada Mabul mereka rasa lebih lega." kata pegawai pengurusan resort yang enggan didedahkan nama.

Bagi pelancong yang mengunjungi pulau Mabul, mereka tidak merasa keselamatan mereka terancam berikutan terdapat pondok Polis Gerakan Am (PGA) yang berkawal di pulau peranginan terkemuka itu.

"Sebenarnya ia adalah selamat, saya tidak berpendapat sesiapa harus dihalang daripada datang ke sini kerana inilah masa yang paling selamat. Walaupun kejadian itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia telahpun berlaku." kata pelancong, Harry Steven yang tidak membatalkan kunjungannya ke Mabul biarpun selepas mengetahui mengenai insiden berkenaan.

Seorang pelancong tempatan dari Tawau, Jefri Jajih pula berbulan madu bersama isterinya di Pulau Mabul kerana merasakan keadaaan di pulau itu adalah selamat.

"Oh dia orang bilang yang itu jauh dari sini tidak membahayakanlah" katanya sambil berjenaka.

Selain itu, rondaan dan pemantauan pihak penguatkuasa termasuk PGA dan pasukan maritim memberikan penduduk tempatan dan pelancong keyakinan bahawa tahap keselamatan adalah terjamin.

"Anda boleh melihat keadaan di sini adalah terkawal. Pegawai keselamatan sentiasa berkawal. Tiada sebab mengapa perlu bimbang mengenai sebarang ancaman keselamatan di sini." kata James Andrew yang berasal dari United Kingdom.

Bagi penduduk kampung, urusan seharian di pulau itu juga berjalan seperti biasa.

"Di sini selamat lah ada polis PGA berkawal, selalu mereka membuat rondaan kalau ada apa-apa mereka boleh siasat." kata Suhaimi Roslan yang tinggal di pulau Mabul.

Pulau Mabul terletak pada barat daya dari Pulau Pom Pom. Jarak perjalanan antara Pulau Pom Pom dan Pulau Mabul adalah kira-kira sejam.

Pada 15 November lalu, seorang pelancong lelaki Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan di dalam bilik sebuah resort di Pulau Pom Pom.

Manakala pasangannya, seorang wanita berusia 58 tahun yang dilaporkan hilang, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata masih belum ditemui.


ASTRO Awani

Kertas soalan Matematik, Matematik Tambahan SPM 2013 didakwa bocor


Contoh kertas soalan peperiksaan SPM yang didakwa bocor.


KUALA LUMPUR:  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)  menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bocor.

Mohd Husaini Jaslee, Nor Izwan Abu Bakar dan Mohd Rizuan Abd Rashid turut menyerahkan salinan yang didakwa kertas soalan bocor itu kepada pemberita pada sidang media di pejabat PPIM di sini hari ini, yang dihadiri Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.

Mohd Husaini, 30, berkata beliau mengetahui perihal kertas soalan yang didakwa bocor itu daripada beberapa pelajar sebuah sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 Nov lepas.

"Kata mereka, kertas itu diedar ketika mengikuti satu seminar SPM 2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa pada 17 Nov lepas bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

"Selepas itu, saya ke Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Putrajaya pada 20 Nov untuk membuat aduan, bagaimanapun, pegawainya meminta dikemukakan bukti," katanya.

Mohd Husaini berkata bukti kebocoran soalan hanya diperoleh pada 21 Nov apabila seorang pelajar menghantar gambar Kertas 2 Matematik Tambahan berserta jawapan, yang didakwa soalan bocor, melalui aplikasi 'WhatsApp'.

"Maklumat itu mengandungi tiga gambar mengenai soalan beserta jawapan yang berkemungkinan sama dengan kertas 2 Matematik Tambahan tersebut," katanya.

Beliau berkata segala maklumat itu kemudian diserah kepada LPM untuk siasatan lanjut dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Wang Maju semalam.

Mohd Husaini berkata beliau membuat pendedahan itu atas dasar tanggungjawab kerana tidak ingin melihat kemusnahan masa depan pelajar SPM.

"Saya berharap pihak LPM dapat menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya benar perkara ini berlaku," katanya.


BERNAMA