Tuesday, 29 October 2013

Polis buru empat lelaki babit kes tipu RM885,000

MELAKA - Polis Melaka memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes tipu membabitkan barangan elektrik dan elektronik bernilai RM885,000 di beberapa negeri sejak Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supritenden Ee Khong Koy berkata mereka dikenali sebagai Anthony Poon, 60-an; Ken Low, 60; Steve Lim dan C. T. Looi.

Mereka dikenal pasti susulan penahanan seorang lelaki berusia 53 tahun di Cheras, Kuala Lumpur, pada 16 Oktober lepas, yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan itu, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya sindiket itu yang dipercayai menjual barangan terbabit di pasaran gelap, beroperasi menerusi sebuah syarikat yang didaftarkan sebagai Usaha Astana Sdn Bhd di Taman Teknologi Chen.

"Modus operandi sindiket itu ialah membeli barangan daripada pembekal dengan cara tunai untuk dapatkan kepercayaan, kemudian membuat tempahan dalam jumlah yang besar melalui cek 'post-dated' sebelum menghilangkan diri," katanya.

Katanya sindiket berjaya memperdaya 17 pembekal di Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor yang hanya menyedari mereka ditipu ketika cuba menunaikan cek terbabit apabila pihak bank memaklumkan duit dalam akaun berkenaan tidak mencukupi untuk pembayaran.

Mengulas kes lain, Ee berkata polis juga sedang mengesan seorang pengurus syarikat pembalakan di Bukit Rambai di sini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM28,000.

Chye Chong Fung, 45, yang beralamat terakhir di No 7, Jalan Bukit Renggam, Simpang Renggam, Johor, menghilangkan diri selepas menyedari pihak syarikat mengesan wujud unsur pecah amanah di syarikat itu pada 9 Julai lepas.

Dia turut melarikan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat bernilai lebih RM90,000, kata Ee.

Sumber: BERNAMA

Makan nasi berlauk cicak

Makan nasi berlauk cicak
Seekor cicak yang terdapat dalam makanan dihidangkan kepada pelajar di sebuah kantin sekolah.


JITRA - Seorang waris pelajar sebuah sekolah di sini kecewa dengan kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar sehingga menyebabkan anaknya hampir termakan cicak yang terdapat dalam hidangan harian di sekolah itu.

Waris mangsa, Fawzi Ali berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya selepas terjumpa seekor cicak bersama ikan goreng dalam nasi yang dihidangkan untuk makan tengah hari pelajar pada minggu lalu.

Menurutnya, anaknya merasa loya apabila melihat seekor cicak dalam pinggan lalu memaklumkan kepada pihak kantin.

"Bagi mengelak berlakunya kekecohan, pengusaha itu menggantikan nasi dan lauk yang lain kepada anak saya.

“Saya sungguh kecewa dengan pihak pengurusan kantin yang lalai dalam menyediakan makanan kepada pelajar hingga membolehkan berlakunya keracunan.

Apabila saya melihat gambar itu, ia sungguh menjijikkan dan tidak wajar perkara itu boleh berlaku," katanya.

Fawzi berkata, sebelum ini dia pernah mendengar aduan daripada rakan anaknya yang sering terjumpa ulat dalam makanan yang dihidangkan kepada pelajar.

Katanya, dia berharap pihak berkenaan datang menyiasat kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelajar di sekolah terbabit.

"Saya berharap Kementerian Pendidikan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak pengurusan kantin sekolah itu kerana jika dibiarkan, ia dibimbangkan akan menyebabkan berlakunya perkara yang lebih serius kepada pelajar sekolah itu," katanya.

Sumber: Sinar Harian