Sunday, 13 October 2013

Lebih 600 penduduk di Balik Pulau terjejas akibat banjir

Lebih 600 penduduk di Balik Pulau terjejas akibat banjir

BALIK PULAU:  Lebih 600 penduduk terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku berikutan pertembungan hujan lebat sejak awal hari ini dengan fenomena air laut pasang besar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata keluarga yang terjejas dengan banjir kilat itu ditempatkan sementara di balai raya serta masjid dan akan dibenarkan pulang lewat petang ini apabila air surut sepenuhnya.

Dr Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata kawasan kampung yang terjejas dengan banjir itu juga dilengkapkan dengan sistem saliran yang baik bagaimanapun pertembungan air laut dan air hujan mengakibatkan air melimpah keluar.

"Kalau hanya hujan biasa kawasan ini tidak akan banjir kerana kita telah perbesarkan longkang manakala sistem saliran di sini baik, tetapi hujan kali ini bertembung dengan fenomena air laut pasang besar jadi air melimpah keluar dari longkang.

"Buat masa ini bantuan segera yang diberikan ialah bantuan makanan kepada mangsa dan mereka perlu tunggu sementara waktu sehingga air surut, jangka petang ini air akan surut," katanya yang ditemui pemberita selepas melawat penduduk yang terjejas akibat banjir kilat itu.

Enam buah kampung yang terjejas teruk di kawasan Balik Pulau ialah Kampung Betong, Kampung Pinang Nirai, Kampung Genting, Kampung Terang, Jalan Baharu dan Kampung Permatang Tengah, manakala di kawasan Teluk Kumbar hanya Kampung Masjid yang terjejas.

Setakat ini 40 orang dari kawasan Balik Pulau dipindahkan sementara ke Masjid Pulau Betong manakala 30 orang dari Kampung Masjid dalam kawasan Teluk Kumbar dipindahkan ke dewan masjid, Kampung Masjid Teluk Kumbar.

Seorang peniaga nasi lemak Zainab Hussin, 59, berkata sejak pukul 8.30 pagi air naik setinggi satu meter menyebabkan banyak peralatan rumah rosak selain memusnahkan persiapan untuk menyambut Aidiladha.
"Mak cik keluar pergi berniaga pagi tadi air belum naik lagi tapi bila balik daripada berniaga tengok air sudah melimpah hingga ke jalan raya, apa pun tak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau Norasikin Md Isa berkata bomba menerima penggilan daripada penduduk sekitar 9.18 pagi memaklumkan air sudah memenuhi jalan raya dan rumah mereka.

"Setakat ini keadaan adalah terkawal, bagaimanapun pihak bomba menasihatkan agar mereka (penduduk) duduk sahaja di rumah, kerana air yang deras dan kita tidak tahu bahaya yang sedang menunggu di luar.

"Harap ibu bapa dan penjaga dapat mengawasi anak masing-masing daripada bermain air banjir," katanya yang turut memberitahu operasi itu dibantu oleh pasukan Bomba Sukarela.

- BERNAMA 

Jumpa mayat bapa mertua sudah berbau

Jumpa mayat bapa mertua sudah berbau
Mayat warga emas yang ditemui mati dalam rumahnya di Che Lijah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun. Gambar Kecil: Mamat

CHE LIJAH - Seorang buruh tidak menyangka bau busuk seperti bau bangkai membawa kepada penemuan mayat bapa mertuanya di sebuah rumah, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Rahsia kematian warga emas itu terbongkar kira-kira jam 6.30 petang apabila menantunya, Ahmad Suhardi Ibrahim, 33, yang ketika itu sedang mencuci peti sejuk di rumahnya terhidu bau busuk datang dari arah rumah bapa mertuanya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Menurut Ahmad Suhardi, sangsi dengan bau yang mencurigakan itu, dia terus ke rumah bapa mertuanya lalu memanggil nama mangsa, namun panggilannya tidak disahut.

Dia cuba membuka pintu namun terkunci dari dalam menyebabkan dia mengambil keputusan memecahkan pintu tersebut.

Sebaik pintu terbuka, Suhardi melihat bapa mertuanya dalam keadaan terlentang di ruang tamu.

"Kali terakhir dia datang ke rumah saya pada Isnin lalu untuk menonton televisyen.

"Selepas itu dia tidak datang lagi dan saya pula tidak menjenguknya kerana sibuk dengan urusan kerja, tak sangka dia sudah tiada," katanya.

Mayat bapa mertuanya yang dikenali sebagai Mamat Yusof, 78, dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal lebih daripada 48 jam.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Sumber