Wednesday, 2 October 2013

Konsert Shahrukh Khan tetap tangguh

Konsert Shahrukh Khan tetap tangguh

KUALA LUMPUR:  Konsert bintang Bollywood, Shahrukh Khan dan rakan-rakan yang dijadual berlangsung pada 11 Oktober ini tetap ditangguhkan ke satu tarikh lain biarpun Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menangguhkan lawatannya ke Malaysia pada tarikh yang sama.

Konsert Tempation Reloaded: Live in Malaysia itu sebelum ini ditangguhkan ekoran masalah logistik susulan lawatan Obama ke negara ini pada 10 dan 11 Oktober.

"Kami telah membuat keputusan itu dan penangguhan tersebut tidak dapat ditarik balik," kata jurucakap penganjur konsert, O. Kumaraguru ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Obama menangguhkan lawatannya bagi menguruskan krisis penutupan operasi pentadbiran di Amerika.

Jelas Kumaraguru, sekiranya Obama mengumumkan lebih awal tentang penangguhan lawatannya itu, konsert berkenaan mungkin dapat diteruskan mengikut jadual.

Konsert Shahrukh Khan dan rakan-rakan itu kini dijadual akan diadakan sebelum April tahun depan dan tarikhnya akan diumumkan hujung bulan ini.

Pengangguhan itu diumumkan bagi pihak penganjur, 2Spicy Entertainment Sdn. Bhd. dan Hitman Solutions Sdn. Bhd melalui satu kenyataan yang disiarkan di laman web jualan tiket konsert berkenaan di www.vip.my.

"(Penangguhan) ini adalah kerana isu keselamatan yang telah dibangkitkan ekoran lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia dalam siri kunjungan ke empat negara Aisa yang kebetulan terlalu dekat dengan tarikh konsert," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, lawatan berkenaan menimbulkan beberapa isu logistik yang boleh menjejaskan kelancaran penganjuran konsert berkenaan.

Penganjur konsert berkenaan juga merakamkan kekesalan atas penangguhan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, peminat yang telah membeli tiket boleh mendapatkan wang mereka semula daripada semua cawangan Rock Corner mulai 12 Oktober ini dan proses pembayaran balik akan diproses dalam masa 10 hari bekerja.

Mereka yang ingin terus memegang tiket berkenaan pula dijanjikan satu pakej ekslusif peminat pada tarikh baru konsert.


* Sebarang pertanyaan lanjut boleh, sila hubungi +60123114601(10 pagi hingga 5 petang) atau emel: temptation@vip.my

Melenting isu miliki ijazah palsu dibangkit di Parlimen


Richard Riot melenting isu miliki ijazah palsu dibangkit di Parlimen

Isu ijazah palsu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming telah membuatkan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot hari ini melenting ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen.

Richard menegaskan ijazah yang dimilikinya adalah sah dan tulen.

"Saya telah menjadi ahli Parlimen selama enam penggal. 23 tahun saya berada dalam Dewan ini," katanya yang kemudiannya menerima kritikan daripada ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menjawab soalan yang diberikan kepadanya.

"Saya pentingkan ilmu sepanjang hayat," kata Richard lagi.

Semasa sesi soal jawab lisan, Kian Ming bertanyakan soalan berkenaan tindakan yang diambil kerajaan terhadap mereka yang memiliki ijazah palsu dengan menggunakan Richard sebagai contoh.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Cheing Jen kemudiannya menuding jari kepada Richard sekaligus membangkitkan kemarahan Richard.

"Saya ingin menegaskan ijazah saya bukan ijazah palsu," kata Richard, dan menambah tindakan Cheing Jen menunjuk kepadanya memerlukan beliau mempertahankan dirinya. 

"Kalau tidak saya tidak akan bangun hari ini," katanya lagi.

"Untuk ijazah saya saya bekerja kuat kerana saya percaya ilmu sepanjang hayat," kata ahli Parlimen Serian itu lagi.

Isu ijazah palsu beliau telah dibangkitkan pada Jun lalu, malah beliau turut menyuarakan kemungkinan untuk mengambil tindakan saman terhadap mereka yang menuduh beliau memiliki ijazah palsu.

Tiga ahli Parlimen DAP, termasuk Kian Ming, Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan Julian Tan (Stampin) sebelum ini mendakwa Richard memiliki Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland) pada 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadibiran Perniagaan dari Preston University (Amerika Syarikat). - Astro Awani