Sunday, 11 August 2013

Penganggur lacur kanak-kanak diburu

Penganggur lacur kanak-kanak diburu
MELAKA:  Polis sedang memburu seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes merogol dan kemudian melacur seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Supt P.R. Gunarajan berkata Mohd Khairul Azli Isohod, 26, dikehendaki kerana melacurkan kanak-kanak tersebut kepada sembilan lelaki sejak Jun tahun lepas hingga 19 Julai lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek beralamat terakhir di 2961-1 Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil dan dipercayai seorang penagih dadah.

"Dia bertindak melacurkan kanak-kanak itu yang merupakan teman wanitanya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Dia melacurkan kanak-kanak tersebut dengan mengenakan bayaran RM100 tetapi hanya memberi mangsa RM20 untuk belanja.

"Kes terakhir berlaku bulan lepas apabila mangsa dilacurkan kepada seorang lelaki berusia 37 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gunarajan berkata suspek pernah merogol mangsa dan ditahan di Ampang, Selangor pada 5 April tahun lepas namun dia tidak hadir pada hari perbicaraan kes itu pada 24 Jun lepas.

Suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di Kuala Lumpur.

Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di sini dan polis sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek.

"Polis percaya kanak-kanak berkenaan masih berhubung dengan lelaki tersebut dan kita sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan lelaki lain yang terbabit dalam kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.Kumares di talian 019-6215585 atau 06-2842222.

Sumber berita: BERNAMA

Hujan meteor di ruang angkasa Malaysia malam esok

Hujan meteor di ruang angkasa M'sia malam esok

Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari Selasa.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang.

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.

"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam.

Sumber: BERNAMA