Monday, 10 June 2013

Sepang pusat "premium outlet" terbaru Malaysia

Sepang pusat

SEPANG: Sepang bakal menjadi pusat "premium outlet" terbaru di Malaysia menerusi kerjasama pemaju tempatan dengan pelabur Amerika Syarikat.

"The Outlet Shoppes" seluas 300 ribu kaki persegi bakal dibangunkan dengan nilai pelaburan 180 juta ringgit.

Usahasama Horizon Group Properties Inc. (HGPI) pemaju factory outlet berpangkalan di Michigan, Amerika Syarikat, sementara Mainstay Properties Sdn. Bhd pemaju hartanah tempatan.

Ia merupakan projek sulung HGPI di rantau ASEAN yang memiliki 30 peratus pegangan ekuiti dalam usahama ini.

"The Outlet Shoppes" merupakan sebahagian daripada pembangunan terancang di laluan utama B15, bersebelahan lebuhraya ELITE.

Menurut, David Nelson, Pengarah Urusan (Asia) Horizon Group Properties Inc., pembeli Kuala Lumpur mempunyai kesedaran jenama yang tinggi dan usaha HGPI ini adalah untuk memperkenalkan pusat outlet berdekatan dengan Kuala Lumpur.

Fasa pertama yang melibatkan pembinaan kompelks ruangan runcit bermula pada 2014 dan dijangka siap dalam masa setahun.

Pembinaannya menggunakan bahan mesra alam dan rekaan persekitaran mapan, seperti projek Space U8 yang dibangunkan Mainstay Properties di Shah Alam.

"The Outlet Shoppes" dijangka menjana nilai jualan tahunan RM100 juta selain mewujudkan lebih seribu peluang pekerjaan baru di Sepang.


ASTRO

Saturday, 8 June 2013

Kementerian arah tarik balik Tapioca Starch Pearls


Kementerian arah tarik balik Tapioca Starch Pearls

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari Syarikat Wang Tai di Taiwan, menarik balik produk makanan tersebut dari pasaran negara ini dan melupuskannya kerana mengandungi Asid Malik (Maleic Acid).

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu, Noraini Mohd Othman berkata sehingga kini, sebanyak 66 sampel produk makanan yang merangkumi tapioca balls atau tapioca pearls, mi dan mihun kering dan tapioca starch yang diambil di pasaran tempatan telah dianalisis.

Beliau berkata keputusan analisis menunjukkan 65 sampel didapati tidak mengandungi asid tersebut.

"Walaubagaimanapun, pengguna yang telah memakan produk tersebut sebelum ini tidak perlu bimbang kerana pengambilan Asid Malik sekali sekala pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini.

Tapioca Starch Pearls biasanya digunakan sebagai makanan dalam minuman.

Dengan perkembangan itu, jumlah produk makanan yang digantung pengimportan oleh kementerian itu kini berjumlah 16 produk.

Katanya kementerian memantau rapi produk makanan diimport dari Taiwan yang berada di pasaran tempatan dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dengan menghubungi 03-888 33652 atau 03-888 33653 atau melayari laman web kementerian.



- BERNAMA