Friday, 31 March 2017

Tak boleh turun harga barang: Jawapan Timbalan Menteri mengejutkan

Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR - Jawapan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong bahawa kerajaan tidak mampu menurunkan harga barang amat mengejutkan.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia juga menunjukkan kerajaan tidak serius menangani beban kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat.

"Henry sendiri mengakui bahawa harga barang tidak dapat diturunkan disebabkan kenaikan kos yang terpaksa ditanggung peniaga-peniaga.

"Beliau turut menjelaskan kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan dan kerajaan tidak boleh menurunkan harga kerana kerajaan mengambil kira margin keuntungan peniaga, peningkatan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung peniaga serta kejatuhan mata wang ringgit sebagai antara faktor, " katanya, hari ini.

Selain itu, kata Shamsul Iskandar, beliau juga telah bertanya di Dewan Rakyat mengenai persediaan kerajaan untuk menyediakan satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) khas menangani kos sara hidup.

Namun, katanya, Henry hanya menjawab satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menangani kos sara hidup yang diketuai Timbalan Perdana Menteri.

"Sehingga kini tiada satu laporan oleh jawatankuasa itu untuk dibentangkan dan rakyat tidak mengetahui sebarang keputusan yang telah dicapai," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membanteras kenaikan harga barang dengan memperketatkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Ini supaya tindakan drastik dapat diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya

"Penubuhan jawatankuasa tidak boleh menangani kos sara hidup tanpa satu laporan dibentangkan kepada rakyat," katanya.

- Sumber: Sinar Harian | 30 Mac 2017

Kalau asyik kutuk kerajaan baik berhenti jadi guru

Mahdzir ketika berucap pada sesi Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini.


KUALA TERENGGANU - Guru yang aktif berpolitik diingatkan supaya mematuhi peraturan dalam perkhidmatan awam supaya tidak berdepan tindakan undang-undang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun berada dalam negara demokrasi, sebagai kakitangan awam, mereka tertakluk dengan peraturan yang membataskan perbuatan mereka di khalayak umum.

“Jika mereka seorang guru, tetapi sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, sedangkan masih menjawat jawatan dalam kerajaan, tak patutlah mereka sampai ke situ.

“Kalau rasa dah boleh naik pentas dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan serta wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah betul-betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Mahdzir berkata, beliau percaya kebanyakan guru tidak menyokong pembangkang, namun hanya menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerjaya mereka supaya dapat diperbetulkan kerajaan.

“Guru bukan sokong pembangkang, tetapi kebanyakan mereka menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerjaya. Jadi, kita akan ambil kira apa yang mereka tak puas hati, kita bantu guru dan guru bantu kita.

“Namun saya juga ingin ingatkan mereka supaya jangan buat sesuatu perkara secara keterlaluan, kalau nak sebarkan sesuatu di laman sosial perlu berfikir panjang,” katanya.

Terdahulu, Mahzir pada sesi dialog berkata, walaupun isu guru menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan adalah kes terpencil, terdapat satu kes guru diambil tindakan kerana menghentam kerajaan secara keterlaluan di pentas politik pembangkang.

Katanya, kes guru tersebut dikenakan tindakan tatatertib dan digantung tugas.

- Sumber: Sinar Harian