Thursday, 23 March 2017

Saya tiada lagi hubungan dengan kedua-dua mereka



TEKA-teki mengenai status perkahwinan pelakon, Adi Putra akhirnya terjawab apabila dia memuat naik satu status di laman Instagram miliknya hari ini.

Status tersebut menjelaskan bahawa beliau kini sudah tidak mempunyai hubungan dengan kedua-dua bekas isterinya lagi.

"Ramai yang bertanyakan tentang status rumahtangga saya, di sini ingin dinyatakan saya tidak ada apa-apa hubungan dan kaitan lagi dengan Aida Yusof (isteri pertama) dan Norshahida Zolkifly (isteri kedua).

"Pada rakan media yang saya hormat, saya tidak ada apa-apa kenyataan untuk diberi," katanya di laman Instagram.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Adi Putra telah bercerai dengan isteri pertamanya, Aida namun kedua-dua mereka mengambil langkah berdiam diri. Sementara itu, pelakon itu turut meminta agar tidak menggangu kedua-dua bekas isterinya.

"Beri penghormatan pada Aida dan Shahida agar tidak diganggu. Terima kasih," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian | 23 Mac 2017

‘Kakak beritahu dia dirogol anggota imegresen'

Depoh dipercayai lokasi wanita warga Thai dipanggil untuk proses rakaman percakapan. (Gambar kecil: Wanita yang didakwa menjadi mangsa rogol anggota imigresen.)


MELAKA - Seorang wanita warga Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota jabatan imigresen negeri ketika proses rakaman percakapan dilakukan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah di sini, dua minggu lalu.

Wanita berusia 29 tahun dan telah berkahwin dengan lelaki tempatan itu berkata, perkara itu diketahui apabila kakaknya memberitahu semasa mereka berada di dalam depoh tersebut.

“Saya yang tinggal di Seremban datang ke Melaka dengan seorang kawan pada 7 Mac lalu untuk berjumpa dengan kakak yang bekerja di sebuah pusat urut di Melaka Raya.

“Tapi lebih kurang 11 malam, pusat urut itu diserbu pihak berkuasa menyebabkan saya, kawan, kakak dan dua lagi pekerja di situ semuanya warga Thai ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, mereka semua dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah kemudian dipanggil bagi sesi rakam percakapan keesokan harinya.

“Kakak saya orang pertama dipanggil masuk ke sebuah bilik oleh anggota lelaki dan keluar selepas 15 minit.

"Kemudian giliran kami berempat pula disoal tapi semasa di bilik tahanan kakak cerita kejadian yang berlaku kepadanya.

“Kakak juga beritahu anggota lelaki berkenaan menyuruh mengadakan hubungan seks dengannya termasuk seks oral,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dibenarkan keluar dari depoh berkenaan Isnin lalu manakala kakaknya dan tiga lagi wanita lain masih ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, pihaknya mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan masih dijalankan Bahagian Siasatan Seksual dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Fauzi Abdullah pula ketika dihubungi Sinar Harian berkata, akan menyiasat dakwaan itu dan enggan mengulas lanjut.

- sumber: Sinar Harian | 22 Mac 2017