Sunday, 13 November 2016

Remaja maut kerana bola

Mayat mangsa ditemui pada jam 2.20 petang tadi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan bomba

BANTING – Seorang remaja lelaki ditemui lemas dalam kejadian di Tasik Bandar Saujana Putra, dekat sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai S Hasvenraj berusia 16 tahun.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mayat mangsa ditemui pada jam pada jam 2.20 petang tadi selepas usaha mencari dijalankan sejak semalam.

"Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai cuba mengambil bola yang jatuh dalam tasik.

"Bagaimanapun, mangsa tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tasik itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat Banting dikejar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.42 petang, semalam sebelum dikejar ke lokasi kejadian.

- Sumber: Sinar Harian | 13 November 2016

Banjir boleh diramal 7 hari sebelum berlaku

- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menambah baik sistem ramalan dan amaran banjir bagi membolehkan ramalan banjir dibuat tujuh hari sebelum kejadian dijangka berlaku, berbanding enam jam ketika ini.

Menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) itu, amaran banjir pula boleh dikeluarkan dalam tempoh dua hari lebih awal berbanding enam jam sekarang.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Seri Zulkefli Hassan berkata menerusi PRAB yang mengeluarkan ramalan dan amaran banjir dengan lebih awal akan memudahkan proses pemindahan dan pengurusan banjir.

"Selama ini amaran banjir yang dapat dikeluarkan adalah dalam enam jam sebelum kejadian dan ini menyukarkan pemindahan serta pengurusan yang sebaiknya.

Dengan projek ini, ia dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan harta benda selain mengurangkan kerosakan pada struktur kemudahan awam," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi merealisasikan pelaksanaan PRAB, sejumlah RM550 juta disediakan melibatkan 40 lembangan sungai utama negara, iaitu ramalan dan amaran banjir akan dikeluarkan dengan sokongan data Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya kesedaran umum juga perlu dipertingkat untuk mematuhi amaran awal ini bagi membolehkan kerja membantu dan menyelamat yang lebih selaras.

Sementara itu, Zulkefli berkata satu pendekatan holistik juga perlu diberi perhatian serius sebagai cadangan jangka panjang bagi memperkukuh jaminan sumber air negara, dalam meminimumkan kesan perubahan iklim seperti pengurangan kekerapan hujan dan fenomena El Nino ke atas sumber air.

"Untuk tujuan itu, JPS membangunkan Sistem Imbangan Air Negara (Nawabs) yang akan berfungsi sebagai 'Sistem Sokongan Keputusan Pengurusan' dalam pengurusan air," katanya. 

Katanya Nawabs bertanggungjawab sebagai alat pengurusan bagi membantu membuat ramalan dan amaran dalam menjangka krisis air atau kemarau dengan lebih awal.

"Ia akan bertindak sebagai satu pusat bagi membantu membuat keputusan dalam pengurusan banjir dan kemarau di dalam negara," katanya. 

- Sumber: Bernama | 13 November 2016