Saturday, 2 April 2016

PM: Kadar GST tidak naik 10%

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Eastwood Valley, Miri.

MIRI: Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menaikkan kadar semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN). 

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kadar GST genap setahun dilaksanakan itu akan kekal pada masa ini. 

Beliau menyifatkan dakwaan DAP Sarawak bahawa kerajaan akan menaikkan kadar GST kepada sekurang-kurangnya 10 peratus jika Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN-11.

Semalam, Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen mendakwa langkah itu akan diambil susulan kejatuhan harga minyak dunia dan kehilangan berterusan hasil kerajaan. 

"Tidak ada rancangan untuk menaikkan kadar GST di Sarawak atau mana-mana tempat di Malaysia," kata Najib ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Kelab Golf & Country Eastwood, di sini, malam ini. 

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta anggota barisan Kabinet negeri.

Najib berkata, walaupun harga minyak jatuh di pasaran dunia, kerajaan akan mencari sumber lain bagi membiayai program pembangunan negara.

Katanya, pembangkang cuba mengeksploitasi isu GST bagi membuat rakyat benci terhadap kerajaan. 

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan retorik dan propaganda pembangkang bahawa GST membebankan rakyat dan tanpanya kerajaan tidak mampu membina lebih banyak sekolah, hospital atau pusat kesihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak. 

"Kita tidak mengejar untuk menjadi kerajaan populis. Kami sentiasa cuba melakukan perkara yang betul untuk rakyat," katanya. 

Najib berkata, rakyat tidak boleh menukar kerajaan sedia ada secara tidak berperlembagaan menerusi demonstrasi jalan atau pungutan suara tetapi kaedah terbaik ialah menerusi peti undi. 

Pada majlis itu, perdana menteri mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM350 juta untuk menaik taraf Hospital Miri secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia ke-11. 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada 11 April ini bagi membolehkan PRN-11 diadakan. 

-Sumber: BERNAMA

Lelaki dipenjara kerana jadikan isteri 'hamba domestik'

SAFRAZ Ahmed. - Foto AFP

LONDON: Seorang lelaki menjadi orang pertama dijatuhi hukuman penjara dua tahun di England selepas disabitkan bersalah menjadikan isterinya sebagai 'hamba domestik.'

Dalam apa yang dikatakan sebagai kes pertama seumpama itu di England, Mahkamah Woolwich di London diberitahu Safraz Ahmed, 34, mengurung dan memukul isterinya selepas perkahwinan yang diatur keluarga di Pakistan.

Mekanik dari Charlton di tenggara London itu memaksa isterinya, Sumara Iram, memasak, mencuci dan menjaga ibunya bermula 5.00 pagi hingga tengah malam setiap hari selepas mangsa berpindah ke Britain pada 2012.

Ahmed juga menampar isterinya di muka setiap kali wanita itu menuntut nafkah batin, membaling tin makanan kucing ke arah kepala mangsa dan menutup mukanya dan kusyen dalam serangan lain.

Iram, 28, yang mempunyai sarjana dalam Pengajian Islam, dilarang meninggalkan rumah bersendirian dan mengambil dadah berlebihan sebelum akhirnya menghubungi perkhidmatan kecemasan pada 2014.

Ketika menjatuhkan hukuman ke atas Ahmed kerana menjadikan isterinya sebagai hamba domestik, Hakim Christopher Hehir, berkata kepadanya: "Mangsa dibuli dan dikawal oleh kamu, diberi sedikit wang dan disuruh masak, mencuci dan menjaga keluarga kamu seolah-olah beliau pembantu rumah.

"Beliau menggambarkan tindak tanduk kamu sebagai penderaan fizikal dan mental dan daripada penilaian saya, beliau (isteri) betul." 

- Sumber: AGENSI