Thursday, 10 December 2015

Seniwati Momo Latif meninggal dunia

Antara filem lakonan Momo (gambar) yang cukup popular ialah filem 'Pendekar Bujang Lapok', di mana Allahyarhamah memegang watak isteri Pendekar Mustar.

KUALA LUMPUR: Seniwati filem Melayu klasik, Momo Latif meninggal dunia petang tadi pada usia 92 tahun di kediaman anaknya di Woodlands Ring Road, Singapura, lapor Berita Media Corp.

Allahyarhamah atau nama sebenarnya Marfuah Makarim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada kira-kira 5.50 petang selepas berada dalam keadaan koma sehari semalam akibat darah tinggi.

Memetik laporan, Momo merupakan seorang penyanyi dan pelakon filem Melayu era 30-an hingga 70-an yang sering muncul dalam filem-filem arahan Allahyarham P. Ramlee, Mat Sentol dan Jamil Sulong.

Antara filem lakonannya yang cukup popular ialah filem 'Pendekar Bujang Lapok', di mana Momo memegang watak isteri Pendekar Mustar.

Selain itu, Allahyarhamah juga terkenal dengan nyanyian lagu-lagu seperti Merpati Dua Sejoli, Semenjak Berpisah, Tudung Periuk dan Jangan Main Mata.

Momo juga pernah menerima pingat penghormatan Johan Bintang Sarawak daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak pada tahun 2007.

- Sumber: Astro Awani | Disember 10, 2015

Monday, 7 December 2015

Pelawak Tauke Jambu selamat bertunang

Tauke yang juga penyampai radio Era itu tampil sedondon bersama tunangnya dengan baju berwarna Merah Jambu.

PELAWAK Tauke Jambu, 39, selamat melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihannya, Nadia pada petang Ahad. 

Berita pertunangan Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Bin Zakaria dikongsi menerusi laman Facebook Era FM.

“Tahniah @taukejambu yang dah selamat langsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya, Nadia siang tadi,” dipetik menerusi kapsyen Facebook Era FM.

Tauke yang juga penyampai radio Era itu tampil sedondon bersama tunangnya dengan baju berwarna Merah Jambu.

Majlis tersebut dikhabarkan berlangsung di rumah pihak perempuan di Terengganu.

Namun sehingga kini, Tauke sendiri masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai majlis pertunangannya melalui media mahupun laman media sosial miliknya.

Kami mengucapkan tahniah kepada Tauke dan pasangan dan semoga ikatan mereka kekal ke hingga akhir hayat.

- Sumber: Astro Gempak