Saturday, 21 November 2015

Gadis ditemui mati di Cheras didera dalam tempoh lama

Siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu pada Rabu lalu dalam keadaan cedera teruk.

KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat kes gadis yang ditemui mati di sebuah pangsapuri di Cheras Utama, Cheras petang semalam mendapati mangsa telah didera dalam tempoh yang lama.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata terdapat banyak kesan bengkak teruk pada muka dan seluruh badan mangsa serta luka yang disyaki kesan seterika panas di kedua-dua betisnya.

"Sementara itu, bekas teman lelaki mangsa yang ditahan semalam akan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Nov bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati bekas teman lelaki mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Polis menemui mayat gadis berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 5.10 petang pada Jumaat setelah menerima maklumat.

Difahamkan, mangsa sebelum ini tinggal bersama bekas teman lelakinya di rumah berkenaan namun telah keluar dari rumah tersebut pada Oktober lepas kerana berlaku perselisihan faham.

Siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu pada Rabu lalu dalam keadaan cedera teruk.

Lelaki berkenaan ingin membawa mangsa ke hospital, tetapi mangsa enggan dan menyatakan bahawa dia telah dikejar dan dipukul oleh teman lelakinya yang baharu.

Sehubungan itu, polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. 

- Sumber: Bernama 

Tujuh maut helikopter terhempas dalam glasier New Zealand

Helikopter persiaran itu menjunam ke lohong di kawasan Fox Glacier pada Sabtu, yang merupakan satu tapak pelancongan popular di pantai barat South Island

WELLINGTON: Enam penumpang dan seorang juruterbang maut apabila helikopter yang mereka naiki terhempas ke dalam lohong glasier di New Zealand akibat cuaca pada Sabtu, lapor AFP.

Helikopter pesiaran itu menjunam ke kawasan Fox Glacier, yang merupakan tapak pelancongan popular di pantai barat South Island, dalam keadaan cuaca mendung dan hujan lebat.

Pasukan paramedik dan penyelamat kawasan tanah tinggi yang berada di lokasi kemalangan mengesahkan tiada yang selamat dalam tragedi berkenaan.

Menurut Pegawai Keselamatan yang terlibat, John Canning, usaha menyelamat akan hanya bermula dalam masa beberapa hari kerana cuaca yang tidak menentu.

Identiti mangsa termasuk juruterbang tidak akan diumumkan sehingga keluarga mereka dimaklumkan mengenai tragedi itu, bagaimanapun Canning mengesahkan juruterbang adalah seorang lelaki tempatan.

Lima tahun lalu, sembilan termasuk empat penerjun udara terbunuh apabila pesawat yang membawa mereka terhempas selepas berlepas dari lapangan terbang Fox Glacier.

Fox Glacier sepanjang 13 kilometer itu disenaraikan sebagai salah satu daripada glasier yang paling mudah diakses dan menarik beribu-ribu kedatangan pelancong setiap tahun. 

- Sumber: Agensi