Saturday, 21 November 2015

Benarkah vape berkesan untuk berhenti merokok?


KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai e-rokok harus tertumpu kepada isu kesihatan dan bukan sebaliknya kepada kesejahteraan ekonomi para peniaga, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). 

Presiden MMA Dr Ashok Zachariah Philip berkata memandangkan banyak aktivis pro rokok elektronik mendakwa bahawa e-rokok adalah lebih berkesan daripada terapi konvensional untuk berhenti merokok, dakwaan itu memerlukan kajian lanjut, dalam bentuk kaji selidik secara rambang. 

"Jika benar bahawa e-rokok jauh lebih berkesan untuk berhenti merokok, maka ia boleh ditawarkan sebagai opsyen terapi di klinik berhenti merokok," katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata e-rokok mungkin tidak cukup lama berada di pasaran untuk sesiapa mendakwa bahawa ia selamat digunakan untuk jangka panjang kerana kerosakan jangka panjang pada organ berlaku dengan mengambil masa 15 atau 20 tahun. 

"Kewarasan akal dan sikap berhati-hati menyatakan bahawa menghidu bahan kimia aktif yang mudah meruap ke dalam pundi udara paru-paru lebih berkemungkinan menyebabkan kerosakan," katanya.

- Sumber: Bernama

'Saya tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram'

Gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

SAYA sedia maklum kegusaran yang timbul akibat gambar saya bersama Jacel Kiram pada 9 November 2015.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada nusa dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya yang dianjur Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Naib Presiden PKR

----------------------------------------------------
- Sumber: Sinar Harian