Friday, 25 September 2015

Lembu terlepas, ibadah korban di UIA kecoh seketika

Lembu yang terlepas dikhabarkan belum berjaya dikesan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ibadah korban yang dirancang di kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, kecoh seketika apabila salah seekor lembu yang ditambat terlepas.

Menurut status yang dimuat naik di Twitter, ramai di kalangan pelajar dan kakitangan menyatakan lembu berkenaan nampaknya sangat nekad dalam percubaannya untuk melepaskan diri.

Antaranya adalah Syed Azharul Asriq, di laman Facebook, menceritakan bagaimana ada yang mengejar lembu itu menggunakan motosikal, namun tidak berjaya menangkapnya kembali.

Ketika berita ini ditulis, kelibat lembu itu masih belum dapat dijejaki.

Ibadah korban merupakan acara tahunan di universiti berkenaan. Tahun ini, dikhabarkan hampir 60 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada pelajar, fakir miskin dan orang awam.

- Sumber: Astro Awani | September 25, 2015

Ancaman pengganas: Polis jamin KL selamat

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa

KUALA LUMPUR - Polis hari ini memberi jaminan bahawa keselamatan di ibu kota adalah terkawal di sebalik nasihat perjalanan oleh Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini kononnya terdapat ancaman pengganas di lokasi tertentu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata demikian sebagai mengulas nasihat perjalanan kedua-dua negara itu bagi rakyat masing-masing supaya mengelakkan Jalan Alor, Bukit Bintang di sini kerana serangan pengganas boleh berlaku.

"Apa jua bentuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat yang berkaitan dengan ancaman keselamatan negara, polis ambil serius dan tidak memandang ringan," katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.‎

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat perkara ini dan akan berjumpa dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

- Bernama | 25 September 2015