Friday, 25 September 2015

Jemaah tak ikut arahan punca tragedi?

Insiden rempuhan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika jemaah haji sedang melakukan ibadah melontar di Jamrah 24 September 2015. - Sumber Foto Jabatan Pertahanan Awam Saudi

MINA - Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled Al-Falih dalam satu kenyataan menyalahkan jemaah haji yang tidak berdisiplin sebagai punca insiden rempuhan yang sehingga kini mengorbankan 717 orang.

Menurutnya, tragedi malang itu tidak akan berlaku sekiranya jemaah mengikuti arahan yang telah ditetapkan.

"Banyak jemaah bergerak tanpa menghormati jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah punca utama tragedi rempuhan itu.

"Jika mereka mengikuti arahan, kemalangan sebegini dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Jemaah Haji Iran, Saeed Ohadi dipetik AFP pula menyalahkan pengurusan Arab Saudi yang bertindak menutup banyak laluan di Mina sehingga memaksa ratusan ribu jemaah terpaksa mengikuti satu laluan yang sama secara serentak.

Ohadi berkata, penutupan laluan menyebabkan tinggal hanya tiga laluan ke kawasan melontar.

"Kejadian hari ini menunjukkan salah urus dan kurangnya perhatian yang serius terhadap keselamatan jemaah. Tidak ada penjelasan lain. Pihak berkuasa Arab Saudi harus bertanggungjawab," katanya.

Jemaah Iran antara yang paling ramai terkorban dalam tragedi rempuhan itu dan sehingga kini, seramai 43 jemaah Iran dilaporkan maut, manakala 60 lagi cedera.

- Sumber: Sinar Harian | 24 September 2015

Tanah kubur jadi pusat pelancongan terkenal

Tanah perkuburan Pere-Lachaise

TAHUKAH anda bahawa tanah perkuburan Pere-Lachaise yang terletak di Arrondissement atau wilayah ke 20 Paris mempunyai reputasi sebagai kawasan perkuburan paling ramai pelawat di dunia.

Bagi kita masyarakat di Timur, begitu janggal menjadikan tanah perkuburan sebagai kawasan pelancongan tetapi di Eropah seperti Perancis, ia sudah menjadi perkara biasa.

Malahan, tanah perkuburan Pere-Lachaise ini turut disenaraikan dalam peta pelancong untuk pelawat asing mengunjungi tanah perkuburan yang gah ini.

Ribuan pengunjung

Saban tahun tanah perkuburan ini menerima ratusan ribu pelawat sama ada dari dalam mahupun luar Perancis.

Tanah perkuburan ini dibuka pada tahun 1804, namanya diambil bersempena paderi Pere Franeoise de la Chaise yang hidup sekitar tahun 1624 hingga 1709 serta tinggal dirumah yang dibina semula pada tahun 1682 di atas tapak sebuah gereja.

Selain itu, tempat ini menjadi saksi pelbagai peristiwa bersejarah di zaman kegemilangan Perancis yang berlaku sejak 200 tahun dahulu, malah di sini ditempatkan tugu peringatan peperangan besar negara itu.

Kini, kawasan perkuburan itu mempamerkan kira-kira 70,000 hiasan yang menghiasi makam golongan kaya dan mashyur selain taman arca seluas 44 hektar.

Namun yang paling kerap dilewati adalah kubur bintang rock Perancis yang poplular sekitar tahun 1960-an Jim Morrison yang terletak di bahagian 6 dan Oscar Wilde bahagian 89.

Di samping itu tokoh mahsyur lain yang turut dikebumikan disitu termasuk komposer genius, Chopuin; penulis drama, Moleira; penyair, Apollinaire; barisan penulis terkemuka iaitu Balzac, Proust, Gertrude Stein dan Collette; seniwati Sarah Bernhardt dan Yves Montad; pelukis seperti Pissaro, Seurat, Modigliani dan Delacroix, penyanyi Edith Piaf dan penari, Isadora Duncan.

Rekod menunjukkan bahawa selang beberapa tahun pembukaannya, lebih 33,000 mayat sudah dikebumikan di situ.

- Sumber: Sinar Harian