Friday, 18 September 2015

Lelaki ‘hilang’ kemaluan dikerat kekasih

Lokasi kejadian - Foto CEN

HANGZHOU - CHINA. Seorang wanita bertindak memotong kemaluan teman lelakinya kerana dia enggan meninggalkan isterinya.

Mangsa, seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai Liu, berusia 50 tahun sebelum ini pernah berjanji untuk meninggalkan isterinya dan akan memulakan hidup baru bersama wanita itu.

Berang kerana janji yang tidak dikotakan selepas menunggu bertahun lamanya, suspek yang dikenali sebagai Zhang bertindak memotong kemaluan teman lelakinya itu.

Dia melakukan perbuatan kejam itu di sebuah bilik hotel di wilayah itu.

Menurut saksi yang juga kakitangan hotel berkenaan, lelaki berkenaan menjerit dan berlari keluar dari bilik dengan kesan darah.

Saksi turut melihat seorang wanita keluar dari bilik hotel berkenaan tidak lama selepas itu.

"Apabila masuk ke dalam bilik, saya menemui gunting dan alat sulit lelaki itu yang terputus," katanya dipetik Metro.uk.

Ahli perniagaan itu dilaporkan belari keluar dari bilik dalam keadaan separuh bogel untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, menurut polis, wanita berkenaan gagal dikesan dan kini sedang dalam buruan polis.

Bagaimanapun, polis enggan mengulas sama ada alat sulitnya berjaya disambung atau tidak.

- Sumber: Sinar Harian 

Tampar Imam: Ada 'benda' suruh jadi imam

Lelaki berkenaan yang ditangkap oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bertindak menampar Imam Masjid Negara ketika solat Jumaat hari ini kerana mendakwa ada suara ghaib mahukan dia mengimamkan solat itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari semasa rakaat pertama solat berkenaan yang dipimpin oleh Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39.

Lelaki warga negara India berusia 31 tahun itu datang dari arah belakang ketika imam sedang membaca surah al-Fatihah, kata Zainol.

Difahamkan lelaki berkenaan cuba merampas mikrofon yang berada pada jubah dipakai Mohd Zuhairee namun gagal menyebabkannya berang lalu mengambil tindakan
menampar imam itu secara tiba-tiba.

Pihak pengurusan masjid kemudiannya membawa lelaki berkenaan keluar serta-merta dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Zainol berkata lelaki itu telah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental dan sering bercakap seorang diri," katanya.

Zainol berkata imam itu ditampar di sebelah pipi kanan dan telah menyebabkan mangsa mengalami sakit kepala akibat kesan tamparan.

Insiden itu berlaku selama kira-kira tiga minit sebelum Mohd Zuhairee kembali mengimamkan solat Jumaat dan meminta semua makmum solat semula.

Bilal bertugas Mohamed Shukri Che Yusoh, 23, berkata beliau tidak menyangka insiden itu boleh berlaku.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku perkara seperti ini di sini (Masjid Negara), saya agak terkejut dan syukur keadaan terkawal,” katanya.

- Sumber: Bernama