Wednesday, 16 September 2015

Kru kabin gemuk: Air India mahu ambil tindakan

Sumber dari Air India itu bagaimanapun memberitahu bahawa isu tersebut bukan tentang berat badan, tetapi kecergasan. - Gambar fail

NEW DELHI: Jurucakap rasmi Air India mendedahkan bahawa telah dikeluarkan arahan melalui dokumen dalaman syarikat penerbangan tersebut pada tahun lalu mengenai keadaan fizikal anak kapal yang tidak cergas.

Syarikat penerbangan itu telah mengeluarkan amaran kepada 600 anak kapalnya supaya kembali menjaga penampilan tubuh pada tahun lalu, namun seramai 125 orang tidak dapat kembali ke berat badan yang dikehendaki.

Portal berita BBC melaporkan, sumber dari Air India itu bagaimanapun memberitahu bahawa isu tersebut bukan tentang berat badan, tetapi kecergasan.

Pegawai dari syarikat penerbangan itu mengesahkan arahan tersebut telah dikeluarkan, namun ia merupakan dokumen dalaman yang tidak boleh diulas secara umum.

Mereka berkata, cadangan tersebut dibuat memandangkan terdapat kebimbangan sekiranya kru kabin yang tidak cergas tidak mampu bertindak dengan cekap sewaktu situasi kecemasan.

Peraturan penerbangan menetapkan bahawa Indeks Jisim Tubuh (BMI) 18-25 adalah normal untuk kru kabin lelaki, manakala untuk wanita adalah 18-22.

Pakar penerbangan Kapil Kaul berkata: “Kru yang berlebihan berat badan adalah isyarat bahawa syarikat penerbangan itu sendiri ‘tidak sihat’. Anda memerlukan anak kapal yang cergas, mesra dan bijak untuk membawa imej syarikat penerbangan.”

Bagaimanapun, ketua kesatuan sekerja Tapan Sen menafikan terdapat peraturan perkhidmatan yang menegaskan tentang hal berat badan.

Itu bukan kali pertama Air India mahu menggantung tugas pekerja kabinnya kerana isu berat badan berlebihan.

Pada tahun 2009, syarikat itu telah mencetus kontroversi apabila memecat sembilan pramugari kerana mereka sangat gemuk. Pemecatan itu dibuat dengan alasan keadaan fizikal itu 'boleh menjejaskan kecekapan' dalam tugas.

Pada 2004, syarikat penerbangan itu pernah dikecam ramai pihak apabila mengumumkan bahawa calon-calon pramugari tidak boleh mempunyai parut, jerawat atau sebarang tanda yang ketara di bahagian muka. 

- Sumber: Agensi

Polis temui mayat Kevin Morais dalam tong konkrit di Subang Jaya

MOHMAD: Berdasarkan pengakuan itu serta pemeriksaan ke atas mayat berkenaan, polis yakin 99 peratus mayat itu adalah Morais yang hilang sejak 4 September lalu. Foto AWANI

SUBANG JAYA: Polis menemui mayat Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dalam sebuah tong berisi konkrit di USJ Satu, Subang Jaya, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata, mayat Morais ditemui berikutan pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan di dua lokasi berbeza pada Selasa di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

"Jadi pada pagi di tempat ini kita telah mendapat bantan bomba, dan selepas tong drum ini dipecahkan kita menemui satu mayat yang kita percayai mendiang Kevin Morais, yang hilang.

"Walaupun bagaimanapun pengesahan tentang identiti sebenar akan dibuat apabila post mortem dijalankan petang ini oleh pathologist HKL (Hospital Kuala Lumpur). Kita jangkakan post mortem ini pada pukul 1.30 atau 2 petang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, mayat Morais dibawa ke Hospital Kuala Lumpur HKL untuk proses forensik dan pengesahan seterusnya.

Polis memaklumkan mayat tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau juga memaklumkan bahawa seorang pegawai tentera doktor yang telah dibicarakan atas dengan kes rasuah dua minggu lalu, telah ditahan termasuk tujuh lagi individu.

Mohmad juga memberitahu bahawa Morais telah mengendalikan kes pegawai tentera tersebut.

Beliau juga memaklumkan, setakat ini beberapa rampasan telah dibuat di Pulau Pinang dan Lembah Klang termasuk sebuah kereta Mitsubishi Triton, dan sebuah kereta Honda Accord yang digunakan salah seorang suspek serta wang tunai berjumlah RM17,100.

"Sementara di Lembah Klang, sebuah Proton Persona milik salah seorang suspek, wang tunai RM15,000 dan sekeping surat pembelian batu, pasir dan simen yang dipercayai digunakan untuk memampatkan mayat," katanya lagi.

Tempat di mana mayat tersebut dijumpai.

Dalam pada itu, Mohmad turut menolak segala spekulasi yang mengaitkan kes ini dengan pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi mahupun isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Di sini kita hendak nafikan bahawa kehilangan dan kematian Morais tidak ada kena mengena langsung dengan spekulasi yang dibuat sebelum ini.," katanya.

Siasatan sejak 6 pagi tadi itu, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang menjalankan pemeriksaan di USJ 1, bersama beberapa lelaki dipercayai suspek yang melarikan mangsa.

Morais dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kondominium Jalan DutaMas, 4 September lalu untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

- Sumber: Astro Awani