Thursday, 13 August 2015

Australia nafi imej "kategori 3" dirakam sonar ada kaitan MH370

Media pada Khamis, menyatakan penemuan imej "kategori 3" itu oleh sebuah kapal terlibat dalam operasi mencari, kemungkinan besar adalah serpihan pesawat. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Australia menafikan laporan berita yang mendakwa imej dirakam sonar yang berbentuk seperti kotak di dasar Lautan Hindi kemungkinan besar daripada pesawat MH370 yang hilang, menurut laporan Australia Associated Press (AAP).

Agensi berita itu memetik jurucakap Menteri Pengangkutan Warren Truss yang mengesahkan objek itu bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

"Semua itu adalah imej lama, dipercayai dirakam beberapa bulan lepas.

"Malah, kebarangkalian yang ia merupakan serpihan pesawat adalah amat kecil," kata jurucakap itu.

Menurut laporan itu, yang diterbitkan oleh beberapa media asing dan media tempatan Malaysia pada Khamis, menyatakan penemuan imej "kategori 3" itu oleh sebuah kapal terlibat dalam operasi mencari, kemungkinan besar adalah serpihan pesawat.

AAP berkata pencarian di dasar laut telah mengenal pasti lebih daripada 400 objek di dasar laut yang diklasifikasikan sebagai kategori 3 yang dirakamkan oleh sonar, yang menarik perhatian kerana keadaannya yang luar biasa daripada keadaan di persekitaran tetapi kebarangkalian mempunyai kaitan dengan pesawat itu amat kecil.

Pada 29 Julai, satu serpihan sayap atau flaperon pesawat ditemukan terdampar di pantai Pulau Reunion dan dihantar ke Perancis untuk dianalisis.

Pada 6 Ogos, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan flaperon itu adalah daripada pesawat MH370.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac tahun semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal termasuk 154 warga China. 

- Sumber: Bernama

Tiada kenaikan harga ubat susulan kejatuhan ringgit

Harga ubat-ubatan yang dibekalkan pembekal ubat tempatan akan terus kekal kerana ia dikawal Kementerian Kesihatan.

MELAKA: Kejatuhan nilai ringgit memaksa perkhidmatan perubatan mengurangkan margin keuntungan mereka sehingga 30 peratus.

Harga ubat-ubatan dikekalkan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung pelanggan.

Antara yang merasa kesan akibat kejatuhan nilai ringgit adalah Pusat Perubatan Pakar Putra (PSH) di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Datuk Radhuana Salleh ketika ditemui Astro AWANI berkata tiada sebarang kenaikan harga ubat-ubatan akan dilakukan sehingga satu rombakan harga barangan terbabit dilakukan kelak.

Menurutnya, harga ubat-ubatan yang dibekalkan pembekal ubat tempatan akan terus kekal kerana ia dikawal Kementerian Kesihatan.

Mac lalu, Kementerian Kesihatan memuat naik senarai harga ubat-ubatan di laman web Jabatan Farmasi sebagai usaha berterusan Kementerian memantau harga ubat-ubatan yang dijual di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata ubat-ubatan di Malaysia bukanlah barang harga kawalan tetapi langkah itu diambil untuk memantau harga ubat-ubatan selain rujukan kepada pengguna.

- Sumber: Astro Awani