Thursday, 13 August 2015

Zeti nafi letak jawatan, kekal Gabenor hingga April 2016

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz (gambar) menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan.

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan.

Zeti pada sidang akhbar di Bank Negara tengah hari tadi berkata beliau kekal memegang jawatan di bank pusat sehingga kontraknya tamat tahun depan.

“Saya kekal sebagai Gabenor sehingga tempoh perkhidmatan saya tamat. Kontrak saya adalah selama lima tahun dan tempoh itu akan berakhir tahun depan,” kata Zeti.

Beliau dalam pada itu menafikan khabar angin bahawa beliau mengalami masalah kesihatan.

“Saya tak ada masalah kesihatan, saya diberitahu doktor yang jantung saya masih kuat. Saya telah lakukan pemeriksaan kesihatan dan semuanya okey.”

Terdahulu, khabar angin menyebut bahawa Zeti telah mengalami serangan jantung namun dinafikan pihak Jabatan Perhubungan Korporat BNM yang mengesahkan beliau hadir ke pejabat seperti biasa dan berada dalam keadaan sihat.

Pada majlis itu, Zeti turut ditanya sama ada akan mengekalkan jawatan selepas tamat kontrak, namun beliau hanya berkata ingin menulis sebuah buku tentang persaraannya.

“16 tahun ialah tempoh yang cukup lama. Saya telah lakukan apa yang saya inginkan untuk sektor kewangan. Banyak lagi yang perlu dilakukan, antaranya migrasi ke pembayaran elektronik.

“Bank Negara ialah sebuah institusi yang mantap dan saya mahu lihat ia meningkat ke tahap lebih tinggi.”

Di majlis yang sama, Zeti turut mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

- Sumber: Astro Awani

Isu ringgit: Awas komen pakar ekonomi 'segera'!

Nilai ringgit mencecah RM4 sedolar AS hari ini.

KUALA LUMPUR - Kemunculan pakar ekonomi 'segera' dalam media sosial yang mengaitkan kejatuhan nilai ringgit dengan situasi politik semasa telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat, menurut seorang ahli akademik.

Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesional Negara‎, Prof Razli Che Razak berkata, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bukan berpunca daripada kemelut politik negara.

Sebaliknya, katanya, kejatuhan nilai mata wang ringgit dalam pasaran dunia disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dunia serta peranan pemain dalam pasaran tukaran matawang.

"Sekarang ini, banyak orang dalam dunia siber menjadi pakar ekonomi 'segera' yang menyebarkan kerisauan mengenai nilai ringgit tanpa berdasarkan fakta sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketidaktentuan nilai matawang berlaku terhadap semua negara yang berdagang dengan dolar Amerika Syarikat seperti Australia dan New Zealand, katanya.

Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan itu berkata, yang memburukkan keadaan kini apabila pakar ekonomi 'segera' tidak bertauliah ini mengambil kesempatan mengaitkannya dengan keyakinan terhadap politik negara. 

Sementara itu, pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, bagi membendung spekulasi yang boleh menjejaskan imej kerajaan, pihak berkenaan seperti Bank Negara harus memberi penerangan sehingga ke peringkat akar umbi.

"Penerangan berdasarkan fakta harus diberi untuk menenangkan kekhuatiran orang ramai dan menghentikan spekulasi tidak tentu hala yang dikeluarkan," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan peniaga akan menaikkan harga barangan walaupun ia tiada kaitan dengan import.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, tiada khabar angin mengatakan harga barangan terutama yang diimport akan naik ekoran situasi mata wang kini.

"Saya lihat peniaga menjual barangan mereka dengan harga biasa dan ada juga yang menjual murah kerana menghabiskan stok yang ada," katanya.

Namun beliau meminta peniaga supaya berurus niaga dengan negara yang menggunakan mata wang rendah supaya barangan tidak dijual dengan harga tinggi. Pada 5 petang, mata wang ringgit ditutup rendah pada RM4.04 berbanding dolar AS daripada RM3.96 semalam. 

- Sumber: Bernama