Saturday, 25 July 2015

Pengadang besi ibarat jerangkap samar?

Pengadang besi menembusi kereta hingga menyebabkan seorang pekerja kilang, Mohamad Ambari Mustofa, 24, maut dalam kejadian di KM28.7 Lebuhraya Kajang-Seremban, kelmarin.

KES-kes kemalangan yang berlaku apabila kenderaan terbabas melanggar pengadang besi makin serius sejak akhir-akhir ini. Berdasarkan beberapa kemalangan sebelum ini, mangsa pasti terbunuh atau mendapat kecederaan serius apabila tertusuk besi pengadang jalan.

Adakah pengadang besi yang dipasang di jalan dan lebuh raya selamat kepada pengguna atau ia umpama jerangkap samar yang hanya menanti mangsa?

Adakah kemudahan berkenaan sudah tidak lagi relevan dan perlu diganti dengan pengadang konkrit yang dapat mengurangkan impak kematian dan kecederaan?
Dalam tinjauan yang dilakukan oleh wartawan Sinar Harian, rata-rata pengguna jalan raya dan lebuh raya bersetuju pengadang besi jalan lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Presiden Proton Saga BLM Owner’s Club, Faizrullah Abdul Rahman berkata, penggunaan besi sebagai pengadang jalana raya pada ketika ini tidak sesuai.

Ini kerana, menurutnya, impak pengadang tersebut sangat besar sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

“Besi pengadang jalan raya ini boleh memudaratkan mangsa kemalangan. Contohnya, baru-baru ini, seorang wanita meninggal dunia setelah kepalanya terputus akibat ditusuk pengadang jalan raya dalam satu kemalangan semasa mangsa menaiki motosikal berkuasa besar bersama suaminya.

“Jadi, bagi saya, kalau tiada pengadang besi itu, mungkin nasib mangsa tidak seteruk itu,” katanya.

Menurut Kelab Permotoran, Anarchy Motor Club bersetuju pengadang jalan raya diperbuat daripada besi lebih memberi keburukan dari kebaikan.
Seorang jurucakap kelab tersebut berkata, walaupun pengadang jalan raya dibina, namun ia tidak mampu menghalang kenderaan daripada terbabas ke laluan bertentangan.

“Masyarakat boleh lihat, banyak kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan yang masuk ke laluan bertentangan.

“Pengadang besi sebenarnya dibina untuk mengelak kenderaan tergelincir ke laluan sebelah. Namun, hakikatnya, pengadang besi tidak dapat mengelak daripada perkara ini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan yang dilakukan di Lebuhraya Persekutuan, rata-rata penunggang motosikal bimbang sekiranya mereka terbabas dan merempuh besi pengadang jalan.

Bagi seorang penunggang motosikal, Mohd Zulfaqqar Rosli, 23, dia tidak dapat membayangkan nasib menimpa dirinya jika terbabas dan merempuh besi pengadang berkenaan.

“Nyawa penunggang motor ibarat telur di hujung tanduk, sedangkan kereta pun boleh tertusuk besi, inikan pula kami yang tiada sebarang perlindungan,” katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal, N. Ayeswaran, 23, berkata, terdapat di sesetengah lokasi ia sudah tertanggal dan mendatangkan bahaya kepada pengguna.

"Saya harap perkara ini dapat diberikan perhatian serius demi keselamatan dan nyawa penunggang motor macam kami ini,"katanya.

Pemandu teksi, Noor Affandi, 55, mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab meninggikan pengadang jalanraya sekurang-kurangnya satu meter daripada ketinggian pengadang jalan raya ketika ini.

Katanya, ketinggian ketika ini boleh mengakibatkan silau kepada pemandu jalanraya sepertinya.

“Sekiranya cahaya matahari terik, mata saya akan silau dan pemanduan saya terganggu,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

'The untold story of 'imam penjara''


ADA hikmah, demikian luah seorang anak muda yang dikenali sebagai 'imam penjara' ketika menceritakan kembali kenangannya menghuni penjara Machang, Kelantan tahun lalu.

Tidak semena-mena pemilik nama Muhammad Nafis Yaakub, 20-an, menjadi sebutan apabila sebuah video dimuatnaik di YouTube memperlihatkan dia sedang mengalunkan bacaan al-Quran di sebalik tirai besi.

Video yang bertebaran di media sosial sejak awal Ramadan tahun lalu turut menggamit hati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian menjadikannya sebagai anak angkat sebaik tamat hukuman penjara.

Bercakap kepada Sinar Online hari ini, Muhammad Nafis berkata, siapa sangka kehidupannya di penjara yang disangkakannya sebagai malang pada awalnya, rupa-rupanya berlaku sebaliknya.

"Saya ditahan dalam lokap selama 11 hari dan selepas itu saya dibawa ke penjara Machang, Kelantan... di sana selepas tersebarnya rakaman itu dengan takdir ALLAH, saya dimuliakan apabila saya diangkat menjadi ustaz oleh penjara.

"Saya ditugaskan untuk menjadi imam, tenaga pengajar kepada rakan banduan yang lain... Alhamdulillah selama empat bulan saya dalam penjara saya sudah jelajah semua blok di penjara itu, untuk menumpang mengajar kepada rakan banduan yang lain termasuk warden sekali.... itulah bagi saya dalam ujian itu ada manfaat dan hikmahnya," katanya.

Malah menurut Muhammad Nafis, dia yang sepatutnya dikenakan hukuman penjara selama enam bulan, namun atas faktor tertentu pihak penjara telah meringankan hukuman tersebut.

"Sebenarnya saya sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan, tetapi telah dipotong menjadi empat bulan, apa-apa pun saya dilayan dengan baik oleh pihak penjara," katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai rutinnya kini, Muhammad Nafis berkata, dia kini sibuk menjadi pengajar di Madrasah Tahfiz Al-Qalam di negara kelahirannya Kemboja.

"Kadang-kadang saya datang ke Malaysia dan Brunei untuk menjadi imam dan mengajar," katanya.

Untuk rekod Muhammad Nafis ditahan akhir Jun tahun lalu dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.

- Sumber: Sinar Harian