Friday, 24 July 2015

SPAD nafi gari pemandu teksi

Gambar individu digari dan teksi disita antara yang digabungkan menjadi viral di laman sosial.

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara menafikan dakwaan pemandu teksi ditahan dan digari dalam satu operasi di Sungai Petani, baru-baru ini.

Gambar beberapa individu digari SPAD bersama kereta teksi disita turut menjadi viral di laman sosial sejak seminggu lalu.

Ketua Penguatkuasanya, Mejar (B) Ahmad Zaidi Shuib berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja dilakukan pihak tertentu.

“Gambar yang viral di laman sosial kononnya pemandu teksi digari dan kereta mereka disita di Sungai Petani tidak benar sama sekali.

“Sebaliknya mereka yang digari bukan pemandu teksi tetapi ulat tiket yang ditahan dalam satu operasi di Terminal Larkin, Johor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, beberapa ulat tiket itu terpaksa digari kerana dipercayai cuba bertindak ganas dan mencederakan pegawai penguatkuasa SPAD yang bertugas.

“Kesalahan ulat tiket adalah diklasifikasikan sebagai jenayah dan boleh ditangkap tanpa waran serta dilakukan mengikut undang-undang yang berhubung dengan tatacara jenayah yang berkuat kuasa.

“Sangat mendukacitakan dalam usaha kerajaan mentransformasikan industri pengangkutan awam negara, gejala ulat tiket masih lagi berleluasa terutama di terminal-terminal utama seluruh negara,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan ulat tiket didapati sering memeras ugut penumpang di kaunter tiket terutama di musim perayaan.

“Penumpang yang membeli dan menaiki bas daripada ulat tiket kebiasaannya tidak sampai ke destinasi pada waktu yang sepatutnya.

“Ini disebabkan perjalanan bas tersebut sentiasa berhenti di kawasan yang tidak termasuk dalam jadual perjalanan bas dan mengakibatkan kelewatan antara satu hingga dua jam perjalanan,” katanya.

Tambahnya, dalam proses melaksanakan Seksyen 205 (2) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) tindakan menggari adalah diperlukan untuk membawa orang yang ditangkap tanpa waran ke balai polis berdekatan untuk tindakan undang-undang.

Tindakan sama juga boleh dibuat mengikut Seksyen 217 (1) APAD kepada mereka yang cuba bersubahat dalam perlakuan sesuatu kesalahan.

Ia diperkuatkan lagi dengan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) iaitu jika orang yang hendak ditangkap itu melawan dengan kekerasan atau cuba lari daripada tangkapan, ia boleh digari.

“Tujuan ulat tiket digari sebagai langkah pencegahan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pegawai penguatkuasa, menghapuskan aktiviti ulat tiket serta pengajaran supaya mereka menghentikan aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

300 objek misteri ditemui di Tanjung Balau

Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur dirakamkan oleh Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut di pantai Tanjung Balau semalam.

KOTA TINGGI - Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur, di Jawa Tengah, Indonesia ditemui di atas batu di pantai Tanjung Balau dekat sini semalam.

Sesetengah penduduk setempat berkata objek dalam pelbagai warna itu digunakan untuk membuang ancak atau persembahan kepada makhluk halus.

Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli berkata beliau menyedari kewujudan objek itu ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut.

Beliau berkata ia secara tidak langsung telah mengganggu pemandangan geologi di Tanjung Balau yang sedang diwarta sebagai kawasan sejarah.

"Kami tidak tahu siapa yang meletak objek-objek itu dan upacara yang dijalankan sama ada ia merupakan proses pemujaan atau ritual sesebuah agama.

"Pihak kami juga tidak mengalihkannya sebab ia terlalu banyak dan bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurangan kerana dibawa air pasang," kata Muhammed Iqbal.

Beliau berkata pengunjung jangan mendekati objek tersebut dan menyentuhnya kerana khuatir akan memudaratkan kerana belum dikenal pasti bahan yang terkandung padanya.

“Namun kita difahamkan ia merupakan upacara tahunan agama namun tidak tahu agama apa dan kita masih siasat perkara ini,” katanya.

Sementara itu Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada ia turut melibatkan masyarakat Islam. 

- Sumber: Bernama