Sunday, 19 July 2015

Istana kutuk tabloid siar video Ratu Elizabeth tabik Nazi

Istana Buckingham mengutuk laporan akhbar tabloid UK, The Sun yang memetik video memaparkan Ratu Elizabeth II ketika muda, memberikan tabik Nazi.

Video berkenaan yang dirakamkan pada 1933, turut memaparkan bonda ratu, Elizabeth Bowles Lyon, Puteri Margaret bersama ayah saudaranya, Putera Edward (yang kemudian menjadi Edward III) melakukan tabik yang sama.

Klip video keluarga, yang dirakamkan di Balmoral, Scotland, dipercayai telah difilemkan dalam masa setahun selepas Adolf Hitler dilantik sebagai Canselor Jerman.

Manakala, versi cetak akhbar tabloid Britain, The Sun pula menerbitkan satu imej yang diambil daripada rakaman video itu, menunjukkan Elizabeth bersama bonda, adik dan bapa saudaranya, di muka depan akhbar tersebut dengan tajuk utama, "Their royal heilnesses."

"Ia sungguh mengecewakan untuk melihat video yang dirakam lapan dekad yang lalu dan nampaknya arkib peribadi keluarga diraja, telah diperolehi dan dieksploitasi dengan cara ini," kata seorang jurucakap Istana Buckingham.

Bagaimanapun, The Sun kemudian mempertahankan pendirian dengan mengeluarkan laporan berkenaan.

Menurut penulis, The Sun, Stig Abell, rakaman itu telah diperoleh secara sah dan video itu tidak dimuat naik dengan tujuan mengritik ratu ataupun bonda ratu.

"Imej-imej ini telah dirakamkan tersembunyi untuk 82 tahun. Kami menerbitkan gambar tersebut bukan untuk mencerminkan imej buruk ratu kita, adik atau bondanya.”

"Mereka, bagaimanapun, memberikan gambaran menarik terhadap sikap pejudis Edward VIII dan rakan-rakannya pada dekad suram, paranoid dan huru-hara itu."

Namun, menurut penulis biografi riwayat bonda ratu, tidak pernah dalam kajiannya menunjukkan keluarga diraja Britain menyokong Nazi.

- Sumber: Astro Awani | 19 Julai 2015

Tanam gadis untuk kukuhkan binaan istana?


MATSUE Castle atau Istana Hitam yang dibina pada tahun 1611 dilaporkan merupakan salah sebuah binaan tertua di Jepun.

Tidak seperti kebanyakan istana lain di Jepun yang musnah atau rosak akibat peperangan, istana lama ini merupakan salah sebuah istana yang masih tersergam kukuh di tempatnya.

Namun ada rahsia di sebaliknya.

Walaupun sering menjadi tarikan pelancong, siapa sangka istana keenam tertua di Jepun ini menyimpan 1001 misteri semasa pembinaannya.

Menurut legenda Istana Hitam, pembinaan istana tersebut yang dikatakan bermula sejak tahun 1607 telah menjadikan seorang gadis sebagai korban bagi mengekalkan kekuatan binaan istana.

Hitobashira atau ‘Tiang manusia’ adalah kepercayaan lama yang diamalkan oleh masyarakat zaman dahulu kala.

Masyarakat zaman dahulu percaya bahawa pembinaan tersebut akan menjadi lebih kuat dan kukuh sekiranya manusia ‘ditanamkan’ di dalam tiang atau dinding binaan.

Sebuah portal melaporkan, dengan ‘menanam’ manusia ke dalam setiap dinding dan tiang, mereka percaya bahawa pembinaan tersebut mendapat keberkatan daripada tuhan-tuhan mereka dan apa yang dibina akan kekal dan tahan dari kerosakan.

Bagaimanapun, binaan yang mengamalkan kepercayaan ini dikatakan dihantui oleh manusia yang ‘diabadikan’ dalam tiang dan dinding.

Berbalik kepada legenda Istana Hitam ini, sejarah mengatakan seorang gadis telah ditanam hidup-hidup di dalam dinding istana semasa pembinaannya. Pada masa itu, kontraktor binaan yang dikatakan mencari gadis yang sesuai untuk dijadikan korban menjumpai seorang gadis yang sedang menari di sebuah festival.

Mereka kemudiannya memukul dan menculik gadis itu sebelum menanamnya hidup-hidup dalam dinding istana.

Gadis tersebut yang namanya tidak pernah direkodkan, dianggap sebagai korban kepada istana; dan pengorbanannya adalah untuk memastikan istana kekal utuh dan stabil.

Khabarnya, gadis tersebut merupakan gundik diraja Matsue yang sangat cantik dan gemar menari.

Setelah istana tersebut siap dibina, pihak diraja mengeluarkan larangan ke atas mana-mana gadis untuk menari di jalanan di Matsue kerana istana tersebut akan mengalami gegaran setiap kali gadis menari di jalanan.

- Sumber: Sinar Harian