Sunday, 19 July 2015

Purata kematian akibat kemalangan jalan raya membimbangkan - Ketua Trafik

Angka bagi purata kematian akibat kemalangan jalan raya semasa musim perayaan bagi tahun ini membimbangkan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Angka bagi purata kematian akibat kemalangan jalan raya semasa musim perayaan bagi tahun ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, purata kematian akibat nahas jalan raya mencecah 22 dalam tempoh sembilan hari pada musim perayaan ini adalah terlalu tinggi berbanding 13 kematian bagi tempoh sama, tahun lalu.

Beliau menjangkakan jumlah kemalangan dan kematian meningkat sepanjang Ops Selamat yang akan berakhir 24 Julai ini.

“Memang saya akui bahawa puratanya agak tinggi sekira dibandingkan dengan tahun lepas. Kita masih menunggu sehingga Ops Selamat tamat secara rasminya pada 24 Julai untuk kita buat semua kajian kematian akibat kemalangan jalan raya," kata Mohd Fuad.

Kajian mengenal pasti punca peningkatan ketara ini akan merangkumi aspek lokasi kemalangan, masa ia berlaku, keadaan pemandu dan penunggang serta jenis kenderaan.

Beliau mengulas perkara itu berikutan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini memaklumkan purata kematian di jalan raya semasa musim perayaan ini meningkat secara mendadak.

Berhubung aliran trafik sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri, Fuad berkata hampir dua juta kenderaan dijangka berada di atas jalanraya pada hari kemuncak perayaan.

“Anggota trafik sudah bersiap siaga kerana kita menjangkakan mereka akan pulang ke kediaman masing-masing nanti. Begitu juga pada Ahad dan Selasa kerana sesi persekolahan akan mula dibuka pada Rabu, sememangnya pegawai kami sudah bersedia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Sejumlah 2,000 polis trafik telah ditempatkan di kawasan kerap kemalangan dan kawasan yang mengalami kesesakan teruk di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 12,383 kemalangan dengan 203 kematian dicatatkan dalam Ops Selamat yang kini sudah memasuki hari ke-sembilan.

Jumlah tertinggi kes itu membabitkan kematian dicatat penunggang dan pembonceng motosikal dengan 123 kes dan 51 kes membabitkan kereta.

Di jalan persekutuan, sejumlah 76 kes kematian dilaporkan, diikuti 56 di laluan jalan negeri, 26 kes kematian di lebuh raya, 23 di jalan bandar dan 22 di jalan-jalan lain

Manakala terdapat 36 kes kematian berlaku di Johor, 29 di Selangor, 21 di Pahang , dan masing-masing 19 kes di Perak dan Kelantan.

Polis trafik telah mengeluarkan 123,190 saman membabitkan kesalahan memandu di laluan kecemasan, memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju. 

- Sumber: Astro Awani 

Lebih 100 rumah rosak dilanda ribut‎


Gambar Hiasan

IPOH - Lebih 100 rumah rosak dilanda ribut di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor dan Klebang dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 6 petang tadi melaporkan mengenai kejadian itu yang menyebabkan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan bumbung dan sengkuap.

"Kebanyakan kes membabitkan pokok tumbang, sengkuap dan bumbung terbang.

Setakat ini, kami tidak menerima laporan melibatkan kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Menurutnya tiga jentera Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta satu jentera Balai Bomba dan Penyelamat Meru turut ditempatkan di lokasi kejadian.

Seorang penduduk di Chemor, Mazayu Mahadi, 45, berkata, ketika kejadian beliau bersama keluarganya sedang melayan tetamu sempena Aidilfitri sebelum tiba-tiba terdengar bunyi guruh yang kuat di luar rumahnya.

"Masa kejadian ada dua keluarga dalam rumah. Saya dengar bunyi guruh dan bila lihat di luar saya tengok angin seperti puting beliung.

"Pokok di hadapan dan tepi rumah tumbang akibat angin itu...Alhamdulillah, tiada yang cedera dan rumah pun selamat. Bagaimanapun, enam hingga tujuh rumah sewa rosak teruk," katanya.

Beliau berkata, kerugiannya dianggarkan kira-kira RM50,000 dalam kejadian itu yang pertama kali berlaku di Chemor.

Pengerusi Masjid Bandar Baru Putra di Bercham, Datuk Masari Abdul Rashid berkata, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, bumbung ruang utama masjid yang dibina pada 2001 itu, diterbangkan angin.

"Ruang solat lelaki tidak boleh digunakan kerana permaidani rosak... lebih menakutkan apabila bumbung dan sengkuap rumah berhampiran diterbangkan ke kawasan masjid.

"Semasa kejadian, hanya saya sahaja berada di masjid," katanya.

Menurutnya lebih 30 rumah terlibat dalam kejadian itu dan semua penghuninya tiada di rumah ketika itu.

Masari berkata, ia merupakan kejadian kedua di kawasan itu selepas yang pertama berlaku tujuh tahun lepas.

- Sumber: Bernama