Friday, 17 July 2015

Transformers versi tempatan sempena Syawal


BARISAN selebriti popular tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei dipilih terbabit dalam alih suara filem epik, Transformers: Age of Extinction.

Filem itu dialih suara ke Bahasa Malaysia kerana ia berjaya meraih kutipan tertinggi pada 2014.

Selebriti terlibat adalah Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Cade Yeager, Hisyam Hamid (Optimus Prime), Sharnaaz Ahmad (Galvatron), Ray, Shah (Hound), Izzue Islam (Drift), Haniff Hamzah (Ratchet), Akim Ahmad (Crosshairs), Hazama (Lockdown) dan Nabil Ahmad (Brains).

Selain itu, Faizal Ismail (Joshua Joyce), Ayai Illusi (Harold Attinger), Ayda Jebat (Tessa Yeager), Syafiq Kyle (Shane Dyson), Syazwan Zulkifly (James Savoy), Scha Al-Yahya (Darcy Tirrel), Elizabeth Tan(Su Yueming) dan penyanyi dari Brunei, Fakhrul Razi sebagai Lucas Flannery juga terlibat dalam projek alih suara ini.

Ketua Jualan dan Pemasaran Affliate di HBO Asia, Jacelyn Kek memberitahu, ia kerjasama pertama HBO Asia dengan Astro dalam projek mengalih suara filem aksi ke dalam Bahasa Malaysia.

Katanya, ia susulan kejayaan alih suara selebriti dalam Bahasa Malaysia menerusi filem-filem animasi yang ditayangkan sebelum ini.

"Filem Transformer: Age of Extinction dipilih berikutan kejayaannya berjaya mencapai kutipan tertinggi di seluruh dunia. Langkah ini juga mengikut beberapa pengenalan beberapa perkara menarik di Malaysia.

"Buat julung kalinya, HBO Asia mengambil pendekatan mengalih suara filem aksi dalam bahasa tempatan. Alih suara selebriti untuk filem animasi sebelum ini mendapat sambutan dari penonton," katanya.

Jangan lupa menonton Transformers: Age of Extinction versi Bahasa Malaysia yang bakal bersiaran di saluran HBO (saluran Astro 411) dan HBO HD (saluran Astro 431) pada sambutan Hari Raya pertama jam 9 malam, 17 Julai ini.

- Sumber: Sinar Harian 

Ada apa di Istana Moosham?


TIDAK ramai yang mengetahui wujudnya sebuah istana indah, Istana Moosham yang terletak di Salzburg, Austria.

Kepada yang pernah berkunjung ke Austria, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke istana yang megah berdiri sejak abad ke-13 ini.

Istana ini dibina oleh Putera Biskop Salzburg dan dibina 1,079 meter dari aras laut.

Bagaimanapun, istana indah ini menyimpan sejarah yang aneh dan jahat.

Menurut sejarah, istana ini dikatakan menjadi lokasi pembunuhan kejam ke atas ribuan wanita yang didakwa mengamalkan ilmu sihir pada zaman tersebut.

Pada masa itu, wanita-wanita hidup ketakutan kerana bimbang dituduh mengamalkan ilmu sihir oleh pemerintah mereka.

Penganiayaan yang sangat kejam ini berlaku antara tahun 1675 dan tahun 1690.

Sejarah mengatakan, sesiapa sahaja yang ditangkap dan dituduh sebagai ahli sihir akan dibicarakan di istana tersebut.

Ada di antara mereka yang mati dirantai di dalam kurungan, selebihnya akan mati ketika diseksa atau ketika hukuman mati dilaksanakan.

Wanita-wanita yang dituduh sebagai ahli sihir akan diarahkan kepalanya dipenggal.

Mangsa termuda yang dituduh sebagai ahli sihir adalah seorang budak miskin yang merupakan seorang pengemis jalanan.

Dia tidak mampu membela dirinya dalam perbicaraan, menyebabkan dia diseksa sebelum dijatuhi hukuman.

Kaedah yang digunakan untuk menyeksa mangsa-mangsa pula dianggap sangat mengerikan dan meninggalkan kesan ke atas diri mereka sepanjang hayat mereka.

Ada yang dipotong jari dan tidak kurang juga ditekap besi panas di bahagian tubuh badan bagi menandakan mereka pernah dituduh sebagai ahli sihir.

Akibat tidak dapat menahan derita dan mahu kesakitan dihentikan, kebanyakan mereka terpaksa mengaku mengamalkan ilmu sihir.

Kini Istana Moosham diubah menjadi muzium dan buka kepada umum untuk lawatan harian.

Ramai di antara pengunjung dan pekerja muzium mendakwa pernah mengalami beberapa siri aneh di dalam istana tersebut.

Menurut Pemilik semasa istana, Theresita Wilczek berkata, Bilik Toni adalah bilik yang paling menyeramkan bagi semua pengunjung yang pernah melawat istana tersebut.

Katanya, bilik tersebut pernah dihuni oleh lelaki yang bertanggungjawab menyeksa wanita-wanita berkenaan sebelum menjalankan hukuman mati ke atas mereka.

Istana Moosham juga dipanggil Istana Ahli Sihir kerana sejarahnya yang hitam dan panjang.

- Sumber: Sinar Harian