Sunday, 5 July 2015

Ada yang keluar rumah tak mandi

Irmohizam Ibrahim

SHAH ALAM - Susulan masalah air yang dihadapi negeri ini hingga ada anak-anak yang ke sekolah tidak mandi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datul Irmohizam Ibrahim berkata, bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Selangor perlu segera mencapai kata sepakat dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, pemimpin negeri ini perlu meletak ke tepi soal politik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Demi kemanusiaan dan menjelang perayaan yang bakal disambut, lebih-lebih lagi saya melihat penderitaan yang wujud terhadap anak-anak yang tinggal di rumah flat dan sebagainya, sudah tentu saya amat berharap agar kerajaan negeri Selangor melupakan soal politik dan
pandang ke depan dalam usaha untuk segerakan penyelesaian isu air dalam negeri ini.

"Lihat penderitaan mereka (rakyat). Ada anak-anak yang tidak bersekolah sebab tidak ada air nak mandi dan ada juga yang ke sekolah tanpa mandi pun. Ini bulan Ramadan. Apa nasib mereka?," katanya kepada Sinar Online.

Malah katanya, melalui keterbukaan yang dipamerkan kerajaan Persekutuan, sepatutnya sesuatu telah dicapai antara keduanya.

"Ini adalah sangat penting kerana perkara pokok ialah kebajikan rakyat.

"Seharusnya dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh kerajaan Persekutuan yang wujud lebih daripada 30 kali untuk mengadakan rundingan sudah tentunya perlu ada tahap pencapaian di antara keduanya," katanya.

Menyentuh soal isu-isu yang dibangkitkan kerajaan negeri, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menasihatkan agar ia diselesaikan pada fasa seterusnya.

"Saya fikir alasan-alasan yang dibangkitkan kerajaan negeri adalah berunsurkan politik. Mereka boleh selesaikan dan kemukakan isu-isu berbangkit itu dalam fasa yang lain.

"Yang penting, asas utama selesaikan isu air dan tiada catuan air untuk rakyat. Sebagaimana yang berlaku di Semenyih dan pernah berlaku di tempat-tempat lain," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Pasukan khas siasat dana akaun PM

Abdul Ghani

SHAH ALAM - Sebuah Pasukan Petugas Khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasukan ini telah memperoleh beberapa dokumen yang kemudiannya dikemukakan kepada beliau untuk semakan.

“Saya mengesahkan bahawa saya menerima dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pasukan khas ini.

“Saya telah meneliti, menyemak kesemua dokumen yang dikemukakan.Saya juga memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini bagi mengambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengatakan syarikat berkait 1MDB mendepositkan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Najib.

Katanya, beliau juga mengesahkan bahawa semalam pasukan petugas khas ini telah menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan telah memperoleh dokumen dari ketiga-tiga premis terbabit.

“Semakan dan analisis yang dibuat ke atas dokumen-dokumen yang diperoleh hasil serbuan itu dan mereka telah diberi nasihat dan panduan susulan. Siasatan akan memfokus setiap aspek yang dibangkitkan.

“Saya yakin keanggotaan pelbagai agensi akan membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih profesional dan terperinci,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak memberi kerjasama bagi membolehkan pasukan petugas khas ini menjalankan siasatan dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai.

- Sumber: Sinar Harian