Saturday, 4 July 2015

Pesara menangis gagal keluar wang di Greece

Foto menunjukkan Giorgos Chatzifotiadis terduduk sambil menangis di luar sebuah bank di Greece, Jumaat lepas. - Foto AFP.

THESSALONIKI - GREECE. Seorang pesara yang terpaksa beratur di tiga buah bank semalam semata-mata untuk mengeluarkan wang simpanannya, bagaimanapun hanya mampu terduduk dan menangis.

Menurut laporan AFP, Giorgos Chatzifotiadis, 77, yang tidak dibenarkan mengeluarkan wang 120 euro (RM505.24) kini tidak tertahan 'melihat negaranya berada dalam kesusahan'.

"Sebab itulah saya lebih merasa terpukul, lebih dari masalah peribadi saya sendiri," kata Chatzifotiadis kepada wartawan.

Sebuah foto yang ditangkap jurugambar menunjukkan Chatzifotiadis terduduk sambil menangis bersama buku bank dan kad pengenalan di atas lantai.

Foto tersebut menunjukkan bagaimana rakyat biasa di Greece terseksa akibat masalah hutang negara.

Sebelum ini, Athens terpaksa mengawal hartanah dan menutup semua bank sejak Isnin lepas untuk mengelakkan pengeluaran wang yang banyak.

Bagaimanapun, beberapa bank bertindak membenarkan pesara yang tidak memiliki kad bank untuk mengeluarkan wang simpanan yang dihadkan kepada 120 euro setiap pengeluaran.

Difahamkan, Chatzifotiadis dan isterinya bekerja keras di sebuah lombong di Jerman sebelum bertukar ke sebuah kilang.

"Saya nampak rakyat meminta sedekah untuk membeli roti. Saya nampak satu demi satu kes bunuh diri berlaku.

"Saya seorang yang sensitif. Saya tak mampu lihat negara saya dalam keadaan sebegini," tambah Chatzifotiadis.

"Eropah dan Greece sudah buat banyak kesilapan. Kita harus mencari penyelesaiannya," jelas beliau.

- Sumber: AFP

Rozana akui guna wang Awie beli barang mewah



ISTERI penyanyi rock Awieuki memberitahu Mahkamah Majistret Ampang di sini bahawa dia menggunakan wang simpanan penyanyi itu untuk membeli barang mewah termasuk beg, kasut dan baraung kemas.

Rozana Misbun, 37, berkata dia bersetuju akan menjual semua barang tersebut untuk membayar balik wang Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 47, yang disimpan di dalam akaun Alliance Bank miliknya. 

"Saya bersetuju akan membayar balik wang Awie dalam tempoh dua minggu selepas hari kejadian (kejadian pukul)," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hazman Harun yang mewakili Awie.

Rozana bagaimanapun mengakui tidak menyerahkan wang hasil jualan barangan mewah itu kepada Awie seperti yang dijanjikan. 

Ibu kepada lima orang anak itu berkata dia telah menyimpan wang milik Awie di dalam akaun Alliance sejak beberapa tahun lalu atas alasan Awie diisytiharkan muflis.

Rozana yang berbaju kurung dan berselendang merah jambu memberi keterangan pada perbicaraan kes Awie yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Katanya, selepas kejadian dia dipukul pada 2 Jun tahun lepas, dia dipaksa oleh Awie untuk mengeluarkan kesemua wang Awie yang ada dalam akaun simpanannya.

"Saya mengeluarkan keseluruhan wang simpanan yang masih ada dalam akaun Alliance Bank iaitu RM30,000 di bahagian kaunter," katanya. 

Rozana bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa wang Awie yang disimpan di dalam akaun bank Amanah Saham Berhad (ASB) miliknya hanya tinggal RM230.

Menjawab soalan peguam itu mengenai laporan polis yang dibuat pada 17 Jun tahun lepas, iaitu dua minggu selepas kejadian, Rozana bersetuju membuat laporan itu selepas merujuk kepada doktor berhubung kecederaan yang dialaminya.

Rozana bagaimanapun menafikan bahawa laporan polis itu dibuat kononnya untuk menutup cerita mengenai kegagalannya untuk membayar balik wang Awie.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bersambung 6 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.

- Sumber Bernama