Thursday, 2 July 2015

Lelaki ubah wajah jadi Superman


MANILA - FILIPINA. Ramai orang mengimpikan untuk menjadi seperti watak adiwira terkenal seperti Superman, Spiderman, Batman dan banyak lagi dan seorang lelaki di Filipina merealisasikan impiannya itu dengan 'mengubah' rupa parasnya menjadi Superman.

Herbert Chavez, 37, telah menjalankan 23 pembedahan plastik dengan kos lebih £4,400 (RM 16, 459) untuk memastikan wajahnya seperti watak adiwira kesayangannya, Superman.

Herbert melakukan pembedahan mengubah hidung, memutihkan kulitnya, rahangnya sejak berumur 18 tahun.

"Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukan dan semua yang telah berlaku dalam hidup saya ini adalah positif dan kerana Superman.," kata Herbert bila ditanya mengenai transfomasi yang dilakukannya itu.

Herbert berkata, apa yang dilakukan adalah untuk memberitahu kepada masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak di Filipina bahawa Superman wujud dan ingin memberi inspirasi dan harapan kepada mereka.

Walaupun, wajahnya sudah persis watak hero Superman, Clark Kent , Herbert masih belum berpuas hati dengan hasil yang diperolehnya, malah ingin melakukan pembedahan lagi untuk membentuk otot badannya.

"Saya hanya akan berhenti untuk melakukan pembedahan apabila badan saya tidak lagi mampu bertahan kerana faktor usia," katanya dipetik Mirror.uk

Sementara itu, menurut doktor yang merawatnya, lelaki itu tidak boleh melakukan pembedahan kerana badanya telah disuntik suntikan berbahaya yang boleh membahayakan nyawanya.

Herbert pernah tersenarai dalam Guinness Book of Records selama tiga tahun kerana memiliki koleksi memorabilia Superman terbesar di dunia yang merangkumi anak patung, poster dan barang kemas.

- Sumber: mirror.uk

Nota kecil menyentuh hati


Jenazah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar.

SEREMBAN – ‘Tuhanku ampunkan aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berikan aku rezeki, berikan aku petunjuk.'

Itu ayat tulisan tangan di atas sekeping nota kecil ditemui di tepi tangan seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, mangsa, Dina Shuhadah Ahmad Fariz, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk ke sekolah dikatakan hilang kawalan dan terjatuh, sebelum digilis sebuah treler.

Kejadian malang itu berlaku tidak sampai 2 kilometer dari sekolahnya, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar, di sini.

Datuk mangsa, Osman Senara, 72, berkata, penemuan nota tersebut sangat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi ia dijumpai di tepi tangan kiri cucunya itu selepas kemalangan.

“Nota itu ada dengan saya. Bila saya membacanya, saya juga sangat sayu. Arwah anak kedua dari lima beradik dan seorang yang periang.

“Dia pelajar yang cemerlang dan bercita-cita nak jadi jurutera. Dia ada cakap nak belajar rajin-rajin supaya dapat semua A dalam SPM nanti macam kakak dia. Tapi tak sempat," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ialah Sabtu lalu ketika dia sekeluarga berbuka puasa di rumah seorang bapa saudaranya di Taman Golf Height, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan sisi kiri sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun di lorong kanan.

“Akibatnya, mangsa terjatuh menyebabkan sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit di sebelah kanan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan melanggar mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Allahyarham Dina Shuhadah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, semalam.

- Sumber: Sinar Harian