Saturday, 27 June 2015

Amanah Saham Didik agih pendapatan 6.60 seunit

Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah menunjukkan pengagihan pendapatan ASD sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Didik (ASD) sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015 melalui anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM336.53 juta berbanding RM313.66 juta yang dibayar tahun lalu.
"Jumlah tersebut meningkat sebanyak tujuh peratus dan pembayaran itu dijangka memberi manfaat kepada 318,221 pemegang unit yang telah melanggan 5.11 bilion unit ASD.

Oleh itu, ASD akan terus melaksanakan strategi bersesuaian dengan membuat pelaburan lebih teliti agar objektif tabung dapat dicapai bagi menghadapi keadaan ekonomi yang dijangkakan terus mencabar," katanya pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan ASD di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Ahmad Sarji, sehingga 23 Jun 2015, tabung ASD memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM446.77 juta yang disumbangkan menerusi keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat sebanyak RM246.65 juta atau 55.2 peratus.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang RM128.38 juta atau 28.7 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut diikuti RM71.74 juta atau 16.1 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

"Kadar pengagihan pendapatan ASD yang sama seperti 2014 adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, setelah mengambil kira ekonomi dan pasaran semasa," katanya.

“Bagi membolehkan pemegang unit menikmati pulangan pertumbuhan unit amanah ini, pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik,” katanya.

Pada majlis sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengumumkan pelaburan ASB2 menerusi Akaun 1 KWSP berkuatkuasa 1 Julai 2015 tertakluk terma dan syarat ditetapkan bagi Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP).

“Mengikut terma dan syarat SPA KWSP, ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan, daripada jumlah melebihi simpanan asas Akaun 1 mengikut umur,” katanya.

Menurutnya lagi, pengeluaran tersebut tertakluk kepada jumlah terkumpul had pelaburan maksimum ASB 2 sebanyak 200,000 unit.

- Sumber: Sinar Harian 

Khairul Anwar lepas semua jawatan dalam Umno

Khairul Anwar Rahmat

JOHOR BAHRU - Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat mengumumkan akan melepaskan semua jawatan yang disandangkan dalam Umno berkuat kuasa 11 Julai 2015.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Khairul Group pagi ini, Khairul Anwar dilaporkan ingin melepaskan semua jawatan dalam Umno bagi meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara serta perluasan operasi korporat firma.

"Serentak itu juga, pihak kami bakal meneruskan operasi firma Khairul Group ke Asia Barat dan Eropah yang tertangguh sebelum ini memandangkan Pengerusi kami (ketika itu) masih bergiat aktif dalam platform politik tempatan," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu turut dipetik, tindakan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada firma terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi (mediation) antarabangsa.

Sementara itu, ketika Khairul Anwar turut mengesahkan peletakan jawatan itu ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.
"Keputusan ini diambil selepas mendapat restu dari ibu saya serta perbincangan mendalam bersama ahli keluarga.

"Keputusan ini juga dibuat berpandu petunjuk ALLAH," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Khairul Anwar menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Naib Ketua Pemuda Umno Johor dan Ketua Sekretariat Perundangan Umno Malaysia.‎

Beliau juga berharap akan mencapai kejayaan dalam apa jua lapangan yang bakal diceburi kelak.‎

- Sumber: Sinar Harian | 27 Jun 2015