Thursday, 25 June 2015

Kapal pesiaran terbesar di dunia bakal beroperasi pada tahun 2016



Kapal terbaru Royal Caribbean kini masih dalam pembinaan, namun ia sudah membuat penampilan sebagai kapal pesiar terbesar di dunia.

KUALA LUMPUR: Kapal terbaru Royal Caribbean kini masih dalam pembinaan, namun ia sudah membuat penampilan sebagai kapal pesiar terbesar di dunia.

The Harmony of the Seas dilapor sedang dibina di limbungan kapal STX di Perancis berhampiran St Nazaire. Dengan fasa awal pembinaan luaran selesai, kapal itu akan melayar ke kawasan darat pada hujung minggu untuk memulakan kerja di bahagian dalam kapal tersebut.

Apabila kapal itu selesai dibina, ia dijangka akan mempunyai 16 aras, dengan ukuran lebih daripada 1,187 kaki persegi iaitu 164 kaki lebih panjang daripada ketinggian Menara Eiffel.

Menurut Royal Caribbean, kapal itu akan dilengkapi dengan tujuh bahagian hiburan, termasuk Central Park, Boardwalk, Royal Promenade, kolam renang dan zon sukan serta zon belia.

Bukan itu sahaja, kapal berkenaan akan dibina dengan keupayaan untuk menampung lebih dari 2,747 bilik.

Royal Caribbean juga dalam proses melengkapkan Harmony of the Seas dengan 20 stesen makanan, 'bionic bar' dengan robot sebagai pelayan bar, permainan air gelongsor bertingkat, gelanggang luncur ais, gelanggang bola keranjang dan padang golf kecil.

Harmony of the Seas akan berpangkalan di Fort Lauderdale tetapi kapal itu dijadual belayar dari Barcelona melalui laut Mediterranean pada musim pertama. Bermula November 2016, kapal itu akan belayar di seluruh Caribbean.

- Sumber: Astro Awani 

Peniaga langgar peraturan kemudian koyak kertas kompaun

Pemeriksaan dijalankan di 28 lokasi bazar Ramadan di bawah pentadbiran MPK.

KUANTAN - Seorang peniaga di Bazar Ramadan Sungai Isap di sini bertindak biadab apabila mengoyakkan kertas kompaun yang dikeluarkan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam satu operasi yang dijalankan pada Jumaat lalu.

Peniaga lelaki terbabit dikenakan kompaun di atas kesalahan pembantu gerai tidak mempunyai kad kesihatan dan tidak mengambil suntikan.

Ekoran tindakan biadab itu, permit berniaga peniaga tersebut disita MPK.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, peniaga terbabit antara mereka yang dikenakan tindakan kompaun dalam operasi yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sebanyak 72 kompaun dikeluarkan kepada peniaga atas pelbagai kesalahan antaranya tiada kad kesihatan, tidak memakai penutup mulut dan melanggar syarat permit.

“Selain itu, tiga permit disita di Bazar Ramadan Mahkota Square kerana melanggar syarat manakala sebanyak 192 notis amaran turut dikeluarkan kepada peniaga di 28 lokasi yang terlibat,” katanya.

Nurul berkata, MPK akan terus bertindak tegas terhadap peniaga bazar Ramadan yang tidak mematuhi peraturan.

Katanya, dengan 700 pegawai penguat kuasa yang ditempatkan di bazar terbabit, peniaga yang degil tidak akan terlepas dikenakan tindakan.

“Kita kesal dengan peniaga yang bertindak di luar kawalan dan tidak menolak kemungkinan mereka akan di senarai hitamkan pada tahun hadapan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian