Monday, 22 June 2015

Tiga tahun dukung kawan cacat di sekolah


BEIJING-CHINA. Terlalu sukar untuk diungkapkan! Bayangkan seorang sahabat anda sanggup menjadi kaki dan tangan anda sepanjang anda di sekolah.

Perkara itu kelihatan mustahil, tetapi mampu dilakukan oleh Xie Xu, 18, apabila sanggup mendukung zhang Chi, 19, dibahagian belakang badannya semata-mata untuk berulang alik ke sekolah setiap hari.

Bagi Xu, tiada apa yang diharapkan selain hanya memastikan rakannya dapat menimba ilmu ke sekolah.

Jadi melalui bantuan Xu, Chi tidak lagi menghadapi masalah untuk hadir ke kelas.

Perkara itu dilakukan selama tiga tahun. Ya, setiap hari selama tiga tahun! Besar sungguh jasa dan kebaikan Xie Xu.

Penyakit distrofi otot yang dihadapi sekian lama oleh Chi mengakibatkan dia sukar bergerak apatah lagi berjalan.

Dek kerana itu Chi sukar untuk melakukan aktiviti seperti remaja lain.

Namun siapa sangka kesakitan Chi tidak ditanggung oleh dirinya sendiri apabila ada orang lain sanggup memikul beban yang sama sepertinya. Iaitu sahabatnya Xu.

Sebenarnya kedua-dua sahabat ini bukanlah adik-beradik. Cuma, kenalan yang sama-sama menginap di asrama berhampiran Sekolah Tinggi Daxu di Xuzhou yang terletak di Wilayah Jiangsu, China.

Menurut Penolong Pengetua Sekolah tersebut, Guo Chunxi, kedua-dua sahabat itu sememangnya sentiasa bersama dalam apa jua perkara.

"Perlakuan mendukung selama tiga tahun memberi respons yang sangat baik kepada individu sekeliling.Lebih mengharukan Xu sanggup membasuh pakaian harian Chi, selain itu, dia juga berperanan dalam memenuhi keperluan makan Chi sebanyak tiga kali sehari.

“Xu akan mendukung Chi ke kafetaria apabila tiba waktu makan," katanya

Pelajar cemerlang

Kedua-dua sahabat ini dinobatkan antara pelajar cemerlang di sekolah. Akan tetapi tempoh kebersamaan mereka semakin singkat apabila kedua-duanya akan mengejar cita-cita mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Xu dikhabarkan menerima tawaran temu duga ke Institut Politeknik Nanjing, sementara Zhang Chi pula dalam proses mempersiapkan diri untuk mengambil peperiksaan kemasukan pendidikan tinggi negara 'Gaokoa'.

Sehingga kini, perbuatan Xie Xu, menjadi inspirasi kepada dunia.

Di sebalik paparan kejahatan dan kezaliman dunia yang saban hari dipaparkan, rupa-rupanya masih ada manusia yang benar-benar berhati murni dan sebaik Xu, inilah yang dikatakan sahabat yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam bersahabat.

- Sumber: Sinar Harian 

Malaysia kalahkan China pada separuh akhir


SKUAD hoki negara mengalahkan China 3-2 di dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia‎ di Stadium K.H.C Dragons, di Antwerp, Belgium hari ini.

Malaysia mendahului menerusi pukulan cantik dari sudut sukar oleh Faizal Saari pada minit ke-18 sebelum Muhammad Haziq Shamsul menambah gol kedua minit ke-30.

China bangkit pada suku ketiga dan Guo Xiaoping membuka jaringan pada minit ke-38 sebelum pasukan yang berada di ranking bawah itu dihadiahkan pukulan penalti beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, Malaysia membuat keputusan menggunakan rujukan video dan penalti itu ditarik balik.

Malaysia meningkatkan jaringan kepada 3-1 pada suku terakhir menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan Muhammad Razie Abd Rahim, sebelum China mendapatkan gol kedua sejurus kemudian selepas bola melantun dari kayu hoki Zhang Zhixuan.

Dengan kemenangan hari ini, Malaysia mendapat tiga mata. Malaysia diundi dalam Kumpulan B dengan China, Ireland, Belgium dan England.

Pemain kedua-dua negara memakai toha berwarna hitam sebagai menghormati penjaga gol Malaysia S.Kumar yang pulang ke tanah air berikutan kematian anak lelaki bongsunya.

Sebelum perlawanan, kesemua di dalam stadium juga bertafakur untuk memberi penghormatan kepada S. Kumar yang kehilangan anaknya itu.

Malaysia dijadualkan bertemu Ireland pada 25 Jun ini.

Malaysia yang menduduki ranking ke-12, perlu berada di tempat tiga teratas untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun hadapan. 

- Sumber: Bernama