Friday, 22 May 2015

Hadiah sempena ulang tahun perkahwinan

Nor Aizan bersama suaminya gembira menerima wang RM1,000

TUMPAT - Seorang penyelia asrama teruja apabila memenangi hadiah RM1,000 Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) sempena ulang tahun perkahwinan.

Nor Aizan Abdul Rahman, 29, berkata, dia tidak menyangka cubaan kali keenam itu akhirnya tuah memihak kepadanya.

Katanya, lebih bermakna kerana hadiah wang tunai itu diterima ketika genap setahun dia mendirikan rumah tangga.

“Umpama hadiah ulang tahun perkahwinan kami, mungkin kami gunakannya untuk berbulan madu meraikan ulang tahun perkahwinan kami.

“Mungkin juga wang ini digunakan untuk persiapan Adilfitri nanti,” katanya yang tinggal di kampung Bendang Pak Yong, di sini.

Nor Aizan yang bekerja sebagai Penyelia Asrama di Sekolah Menengah Ugama Arab Al-Falah Siram Pasir Mas terus bergegas pulang sebaik saja pihak Sinar Harian mahu menghantar hadiah RM1,000 itu ke rumahnya.

Menurutnya, pada awalnya dia sukar untuk mempercayai dia menang peraduan itu ketika dihubungi Sinar Harian.

“Maklumlah sekarang ini macam-macam penipuan berlaku, tetapi selepas mengingati saya pernah memasuki peraduan PR1M, bukan main gembira lagi saya,” katanya.

Nor Aizan berkata, dia akan terus menjadi pembaca setia Sinar Harian dan akan terus mencuba lagi menyertai pertandingan PR1M, tetapi suaminya, Mohd Ezwan Mohd Zain, 36, pula yang akan mencuba nasib.

- Sumber: Sinar Harian 

Oppo Neo 5s, telefon pintar mampu milik: bawah RM1,500

OPPO memperkenalkan telefon pintar terbaharunya, Oppo Neo 5s yang ditujukan untuk segmen menengah.

Walaupun Oppo masih belum lagi memperkenalkan telefon pintar terbaharunya ini secara rasmi tetapi laman web rasmi Oppo sudah mula mengeluarkan spesifikasi telefon pintar Neo 5s.

Telefon pintar ini juga sudah mula berada di pasaran beberapa buah negara.

Oppo Neo 5s adalah kesinambungan daripada siri Oppo Neo yang diperkenalkan tahun lalu, dan peranti ini mempunyai skrin berukuran 11.5 sentimeter dengan resolusi 854 x 480 piksel. 

Skrin sentuh peranti ini juga boleh digunakan dengan mudah dan menurut laman web rasmi Oppo, skrin sentuh ini mudah dikendalikan walaupun ketika memakai sarung tangan.

Terdapat prosesor quad core Snapdragon 410 berkelajuan 1,2GHz yang disokong oleh RAM 1GB dengan memori simpanan dalaman sebesar 8GB dan slot microSD hingga 128GB. 

Di bahagian sistem operasinya, peranti ini menggunakan ColorOS 2.0.1 yang berdasarkan Android KitKat 4.4.

Oppo Neo 5s mempunyai kamera utama 8 megapiksel yang dilengkapi teknologi Pure Image 2.0, LED flash serta auto fokus selain mampu merakam video definisi tinggi. 

Sementara di bahagian depan, terdapat kamera 2 megapiksel.

Peranti ini didatangkan dengan bateri berkapasiti 2000 mAh dan mendukung micro SIM serta nano SIM selain boleh menggunakan di jaringan FDD-LTE.

Mengenai harga telefon pintar ini pula, difahamkan jika memasuki pasaran tempatan ia bakal dijual dengan harga di bawah RM1,500.

- Sumber: BH Online