Tuesday, 19 May 2015

Selfie ekstrem tapi profesional


Pasukan Ropequest mempunyai pengalaman yang luas dalam penyelenggaraan apabila terlibat dengan pelbagai projek mendaki bangunan pencakar langit.

JANGAN cuba meniru selfie yang dilakukan pekerja penyelenggara di atas puncak Menara Kuala Lumpur ini.

Mereka adalah golongan profesional yang melakukan apa sahaja kerja penyelenggaraan di tempat tinggi, termasuklah di Menara Kuala Lumpur.

Gambar selfie mereka mula menjadi viral hari ini bukan sahaja kerana berlatarbelakangkan keindahan kehijauan di bandar Kuala Lumpur, malah ia juga sangat ekstrem untuk dilakukan pada kedudukan yang sangat tinggi.

Menurut salah seorang daripada mereka, Shamsul Idzwan Shamsuddin, mereka adalah kakitangan Ropequest Sdn Bhd yang pakar dalam mencapai ke kawasan tinggi dengan menggunakan tali.

"Kami melakukan apa sahaja kerja di tempat tinggi yang menggunakan tali. Di atas menara, kami membuat penyelenggaraan lampu isyarat yang digunakan bangunan tinggi sebagai amaran kepada pesawat dan helikopter supaya tidak bertembung dengan bangunan itu," kata Shahrul.


Tambah Shahrul lagi, mereka melakukan kerja penyelenggaraan untuk bangunan tinggi sebanyak dua kali dalam setahun, iaitu pada pertengahan tahun dan hujung tahun.

Pasukan Ropequest mempunyai pengalaman yang luas dalam penyelenggaraan apabila terlibat dengan pelbagai projek mendaki bangunan pencakar langit.

Walaupun berpangkalan di Johor Bahru, mereka melakukan penyelenggaraan untuk Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bangunan UMNO di Pulau Pinang, Jambatan Desaru di Johor, selain apartmen atau flat untuk melakukan kerja baik pulih.

Saksikan temu bual Shamsul dengan rakan-rakannya esok dalam Awani 7:45 dan juga aksi mereka memanjat bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur.

- Sumber: Astro Awani 

Wartawan maut digilis komuter

Keadaan mayat mangsa. 

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan Tamil Malar maut selepas dirempuh sebuah komuter dari arah Batu Caves di stesen komuter Batu Kentomen, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi, mangsa, K. Anamalay, 67, mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan tubuh mangsa terputus dua di atas rel.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai lompat secara mengejut ke atas rel, kurang 15 meter sebelum komuter berkenaan tiba di platform bagi mengambil penumpang.

"Pemandu komuter dikatakan telah bunyikan hon yang panjang, tetapi lelaki itu tidak berganjak. Selepas komuter diberhentikan, didapati lelaki berkenaan telah mati terputus dua," katanya dalam kenyataan di sini.

Munusamy berkata, mangsa ketika ditemui berpakaian lengkap. 

"Si mati adalah seorang wartawan Tamil Malar berpejabat di Jalan Ipoh KL dan tinggal menyewa bilik seorang diri di rumah berhampiran stesen komuter tersebut, manakala keluarganya berada di Sungai Petani," katanya. 

Munusamy berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

- Sumber: Sinar Harian