Tuesday, 19 May 2015

'Saya tidak malukan Tun M, dia yang aibkan diri sendiri' - Pandikar

Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaibkan diri sendiri kerana membocorkan rahsia pertemuan mereka yang diadakan di Yayasan Al-Bukhari pada 13 Mac yang lepas.

Tegas Pandikar, pertemuan yang dikatakan perbincangan hati ke hati dan seumpama seorang anak dan ayah itu diakui memang berkisar kepada isu mahu meletakkan jawatan kerana kecewa dengan sistem Parlimen pada masa itu.‎
"‎Saya mohon kemaafan jika ia mengguris hati Tun M, saya tak mahu aibkan dia, sebagai respon Tun M semalam yang menyifatkan saya memalukan dia, bagi saya kenyataan Tun M yang memalukan dirinya sendiri apabila melanggar etika kerahsiaan yang seharusnya pertemuan itu tidak patut dizahirkan kepada sesiapa.‎

Pertemuan yang dikatakan perbincangan hati ke hati dan seumpama seorang anak dan ayah itu diakui memang berkisar kepada isu mahu meletakkan jawatan - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

"Saya jumpa Tun M di Yayasan Bukhari pada 13 Mac lepas. Dalam pertemuan itu kami bincang banyak perkara politik semasa dan saya akui sudah curahkan isi hati kekecewaan dan tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat selain meluah rasa hendak meletak jawatan Speker‎.
"Saya curahkan isi hati kepada Tun M seumpama seorang anak kepada bapa. Seperti mana dimaklumkan, Tun M mungkin terlalu ghairah ‎hendak menjatuhkan Najib kerana menyarankan saya untuk meletak jawatan," katanya semasa sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Saya mohon kemaafan jika ia mengguris hati Tun M, saya tak mahu aibkan dia. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Sidang media yang diadakan di Bukit Tunku berlangsung kira-kira 20 minit pada sekitar jam 2.00 petang Selasa.

Pandikar juga memaklumkan bahawa dia tidak akan mempengerusi mesyuarat pertama penggal ketiga di Parlimen pada 11 Mac lepas.

"Saya kata tugas saya akan diambil kedua-dua timbalan dan seperti yang sedia maklum, saya tidak ada untuk mempengerusikan mesyuarat," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dia bertemu Najib pada 19 Mac dan membincangkan mengenai soal politik negara dan isu perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.

"Saya maklumkan untuk meletakkan jawatan dengan serta merta, namun Najib tidak menerima surat itu dan bertanya apa masalah saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Saya memperincikan masalah di Parlimen kepada Najib seperti isu pentadbiran Parlimen yang tidak memberi kerjasama kepadanya.

"Rintihan saya disambut selain memberitahu tugas Speaker itu tidak boleh mengikut kepada arahan sesiapa," jelasnya.

Jelasnya lagi, Dr Mahathir juga sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian samada beliau telah benar-benar mahu meneruskan hasratnya untuk meletakkan jawatan atau tidak dan bukannya hanya berdasarkan perbincangan sulit yang diadakan pada Mac lepas.

Pada akhir sidang media tersebut, Pandikar berseloroh dengan berpesan kepada wartawan agar tidak mengejarnya lagi di Parlimen untuk bertanya isu berkenaan.

"Saya harap selepas ini semua selesai, jangan kejar saya di parlimen atau telefon saya untuk isu ini lagi," katanya.

Tun Mahathir baru-baru ini, berkata Pandikar telahpun meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir tentang peletakan jawatan itu disangkal oleh Pandikar Amin menerusi satu kenyataan.



Semalam, Pandikar Amin seperti biasa mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13. 

- Sumber: Astro Awani 

Keputusan pengadil batalkan jaringan adalah tepat

Sebuah ambulans musnah dibakar oleh penyokong Terengganu dalam rusuhan bola sepak selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, malam tadi.

KEPUTUSAN pengadil membatalkan jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas adalah seratus peratus tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Goh Ah Chai menjelaskan bahawa berdasarkan Laporan Penilaian Pengadil dan analisa video, jelas menunjukkan pemain Terengganu itu berada pada kedudukan ofsaid dan hanya seorang pemain pertahanan Lions XII, Nazrul Nazari berada di belakangnya.

"Undang-undang bola sepak tidak menyebut bahawa penjaga gol mestilah menjadi pemain pertahanan terakhir dan ini bermaksud, mana-mana pemain pasukan lawan boleh menjadi pemain terakhir dan pemain kedua terakhir.

"Selain itu, pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob juga telah membatalkan gol tersebut selepas mendapat bantuan daripada penolong pengadil, Azman Ismail," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Instruktur Pengadil Fifa C. Ravichandran berkata situasi yang sama pernah berlaku pada pembukaan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, apabila pengadil perlawanan membatalkan jaringan Mexico ketika menentang pasukan tuan rumah.

Keputusan pengadil membatalkan jaringan keempat skuad 'Penyu' menyebabkan pasukan itu tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA apabila Lions XII mara ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan, selepas keputusan agregat terikat 4-4.

Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim mencatat kemenangan 3-2, selepas tewas 1-2 kepada pasukan dari seberang tambak pada aksi separuh akhir pertama.

Keputusan itu menyebabkan hampir 15,000 penyokong bertindak liar dengan membakar harta benda serta sebuah ambulans serta merosakkan beberapa kemudahan di dalam dan luar perkarangan stadium, mengakibatkan anggaran kerugian kira-kira RM150,000.

Goh berkata keputusan pengadil pada perlawanan itu harus diberi pujian kerana situasi tersebut jarang berlaku dalam perlawanan bola sepak dan hanya terjadi dalam satu dari 1,000 perlawanan.

- Sumber: Bernama