Sunday, 17 May 2015

Menteri Korea Utara ditembak mati kerana tertidur

Hyon Yong Chol

SEOUL - KOREA SELATAN. Menteri Pertahanan Korea Utara dihukum mati dengan cara ditembak menggunakan senjata anti serangan udara kerana didakwa tertidur ketika dalam satu acara rasmi yang dihadiri pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong Un.

Hyon Yong Chol, 66, dikatakan menunjukkan 'rasa tidak hormat' kepada Jong Un atas tindakan itu.

Berita hukuman itu disampaikan oleh seorang pegawai perisikan kepada Ahli Parlimen dalam satu mesyuarat khas.

Menurutnya, hukuman yang dikenakan terhadap Yong Chol itu disaksikan oleh ratusan pegawai kanan ketenteraan pada April lalu.

"Hukuman mati itu dilakukan di sebuah kawasan luas di Pusat Latihan Tentera Kanggon, utara Pyongyang," katanya.

Sebuah akhbar tempatan Yonhap pula melaporkan, Yong Chol dihukum dengan cara ditembak menggunakan enam unit senjata anti-serangan udara ZPU-4.

- Sumber: Sinar Harian 

Dr M isytihar tidak sokong Najib lagi


IPOH - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana didakwa lemah dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menasihati Najib namun perkara itu dilihat tidak memberi kesan yang positif terutama membabitkan soal kepimpinan dan pentadbirannya.

“Saya sudah berunding, nasihat dan beri pandangan kepada beliau namun ia semacam tak memberi kesan.

“Oleh itu, saya telah tulis surat mengatakan saya tidak boleh lagi sokong beliau dan buat pengetahuan semua (hadirin) Najib tidak (pernah) maklumkannya (mengenai surat) kepada sesiapa,” katanya pada program Bicara Negara Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mahathir berkata, tindakannya menolak kepimpinan Najib itu juga berpunca daripada kegagalan perdana menteri itu mendengar keluhan akar umbi dan rakyat jelata.

“Saya tahu ada pihak akan marah bila saya katakan perkara ini namun ingin saya tegaskan kepimpinan Najib tidak sama sepertimana arwah bapanya, Tun (Abdul) Razak yang sanggup menyelusurkan segenap kampung bertanyakan hal rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ahli Umno terutamanya pimpinan tertinggi perlu berani menegakkan kebenaran sekali gus menggugurkan Najib daripada mengetuai Kabinet dan parti.

“Umno perlu gugurkan Najib demi tanggungjawab bangsa, agama dan negara selain tidak sesekali boleh membiarkan sokongan kepada seseorang individu menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan negara.

Selain itu, katanya, beliau tidak menolak Umno dan BN akan tumpas dalam PRU14 sekiranya pakatan itu mengekalkan Najib selaku Perdana Menteri.

“Mungkin, dan saya fikir Umno itu akan lenyap terus ditelan zaman,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian