Friday, 15 May 2015

Esscom akan lancar operasi khas di Kudat


KUDAT - Pasukan penguat kuasa di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan melancarkan Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang tanpa izin (Pati) di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi berkata, operasi itu akan disertai pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan negeri dan persekutuan dengan misi membersihkan Kudat daripada Pati.

Beliau berkata, tumpuan operasi itu ialah kawasan perkampungan air, kawasan pasar dan pusat bandar.

"Walaupun kawasan utara Sabah, khususnya Kudat, kelihatan tenang dan aman, namun kita tidak boleh leka dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Apatah lagi ekoran insiden penculikan di Sandakan semalam (Khamis malam)...Kudat yang menjadi pintu masuk ke Kota Kinabalu (melalui perjalanan darat dari utara Sabah) juga terdedah pada bahaya, bukan sahaja kemasukan Pati tetapi juga penjenayah rentas sempadan....jangan sangka air tenang tiada buaya," katanya. 

Ruji berkata demikian ketika berucap pada sesi pertemuan Esscom bersama pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat daerah Kudat di Dewan Mini Pejabat Daerah itu, hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim dan Pengarah Pasukan Khas Senior Asisten Komisioner Mohammad Ismail.

Ruji berkata operasi yang sama kini giat dilaksanakan secara berterusan di lima daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan yang menyaksikan peniaga tempatan kembali mendominasi aktiviti perniagaan kecil-kecilan, khususnya kawasan pasar utama bandar terbabit.

"Matlamat kita ialah membersihkan keseluruhan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) daripada Pati. Kita perlu ambil iktibar insiden Tanduo dan dominasi Pati di kawasan pasar Lahad Datu sebelum berlaku peristiwa Tanduo (awal 2013).

"Misalnya suatu ketika dulu, pasar Lahad Datu didominasi oleh peniaga atau penjaja Pati. Kita tidak boleh biarkan keadaan ini berulang di pusat bandar lain di Esszone," katanya.

Sehubungan itu, Ruji mengajak rakyat Sabah, khususnya penduduk Kudat dan daerah sekitarnya supaya memberikan sokongan sepenuhnya kepada Esscom dalam menjayakan misi operasi bersepadu itu.

Beliau berkata, langkah drastik itu susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pati di Sabah (RCI) dan arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) supaya dilancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran Pati di negeri ini khususnya di Esszone.

Ruji berkata, Esscom juga akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan Esszone bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan.

Esszone meliputi 1,733.7 kilometer yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.‎ 

- Sumber: Bernama

Fesyen hijab pelik Melly Goeslaw

Fesyen pelik Melly yang dimuatnaik di instagramnya.
KOMPOSER terkenal Indonesia Melly Goeslaw menarik perhatian pengguna laman Instagram selepas memuatnaik gaya hijab terbaru yang pelik dan unik.

"Make up @makeupbyderry dress @dini_julies. Hiasan dan aksesoris punya aku, shoes Y3 @adidas #mellygoeslaw #putrimuslimah," tulisnya.

Rata-rata pengikutnya mengutuk gaya terbaru hijabnya itu malah ada yang menyifatkannya seperti unta, pasu bunga, sarang burung.

Walaupun menerima kutukan ramai, selebriti itu tidak memadam foto berkenaan.

Melly kemudiannya dilihat memuatnaik sebuah fotonya dengan kapsyen menafikan dia bukanlah wanita berhijab yang memenuhi syarat seperti wanita berhijab.

"Saya hanya wanita yang sangat bahagia menutup bahagian-bahagian tubuh saya yang sebaiknya ditutup dan belum memenuhi syarat-syarat seperti wanita berhijab.

"Saya senang menutup rambut dan leher saya dengan kain, atau bahan-bahan lain yangg lazim mahupun tidak lazim dipakai di rambut.

"Jika wanita berhijab adalah wanita yang paling di anggap betul dalam banyak hal, maka itu masih jauh dari diri saya," katanya.

Tambah Melly lagi, dia hanyalah manusia yang masih harus belajar dan berharap agar menjadi seorang muslimah sejati.

"Harapan di mana kelak saya boleh menjadi wanita solehah yang berhijab, berjilbab, tidak menyanyi, tidak main sinetron, tidak menjadi juri, tidak membiarkan dirinya di lihat orang lain di televisyen ataupun di media lain yang mana boleh mengundang fitnah dan maksiat, tidak main filem, tidak main media sosial dan hanya melakukan hal-hal yang seperti dilakukan isteri-isteri Rasul, " tulisnya lagi.

- Sumber: Sinar Harian