Friday, 15 May 2015

Drama tebusan berakhir

Gambar hiasan

KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 14 termasuk sembilan warga asing terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah rumah tamu di kejiranan Shar-e-Naw di ibu negara Afghanistan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Jazeera, media tempatan melaporkan drama tebusan itu berakhir selepas Unit Tindakan Khas merampas semula bangunan tersebut dan menyelamatkan kira-kira 54 tebusan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan hingga menyebabkan beberapa tebusan turut cedera.

"Pejuang Taliban mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan selama tujuh jam di bangunan berhampiran pejabat PBB dan kediaman kedutaan asing tersebut," katanya lagi.

Sejak akhir bulan lalu, Taliban memperhebat serangan mereka dengan menyasarkan kerajaan dan warga asing di negara itu.

- Sumber: Sinar Harian

Remaja dirogol ‘spiderman’

gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja wanita tidak menyangka keputusannya berehat di rumah bersendirian pada waktu tengah hari turut tidak selamat apabila dirogol seorang lelaki bertopeng ala-ala ‘spiderman’, di kediamannya di Kampung Bukit Guntung, Marang, Rabu lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang lena tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga bertopeng tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek bukan sahaja bertopeng, malah turut memakai sarung tangan itu terus bertindak menekup mulut sebaik menyedari mangsa tersedar daripada tidurnya.

“Suspek menekup mulut mangsa bagi mengelak dia menjerit, bagaimanapun dengan kudrat yang ada, mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan dirinya.

“Namun, ketika itu juga suspek bertindak keluarkan pisau lipat lalu diacukan ke arah mangsa sebagai ugutan sekiranya mangsa masih berdegil mahu melawan sebelum merogolnya,” katanya di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian menerusi pintu utama rumah.

Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan itu terus cuba hubungi ibunya yang ketika itu di tempat kerja, namun gagal sebelum mengambil keputusan menghubungi rakan baiknya dan seterusnya membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk suspek, namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti identiti serta bagaimana cara suspek menceroboh masuk rumah mangsa.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan n susulan,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

- Sumber: Sinar Harian