Friday, 15 May 2015

CSI melabuhkan tirai selepas 16 tahun

Siri drama jenayah, CSI: Crime Scene Investigation bakal melabuhkan tirai selepas 16 tahun bersiaran.

KUALA LUMPUR: Program penyiasatan popular CSI: Crime Scene Investigation pernah mencipta fenomena sekitar sedekad lalu. Siri televisyen yang berkisar mengenai para penyiasat lokasi jenayah, berusaha menyelesaikan kes pembunuhan ini bakal melabuhkan tirai selepas 16 tahun bersiaran.

Siri drama jenayah ini akan ditamatkan sementelah episod terakhir musim ke-15 disiarkan serta diikuti filem istimewa bagi menyimpulkan jalan ceritanya.

Filem khas itu akan disiarkan pada 27 September 2015 di Amerika Syarikat dan dikhabarkan sepanjang dua jam. Filem ‘perpisahan’ itu akan turut akan menampilkan para pelakon asal seperti William Petersen dan Marg Helgenberger.

Para peminat CSI berpeluang menyaksikan penyelia terdahulu kumpulan CSI iaitu Gil Grissom dan pembantunya, Catherine Willows beraksi semula selepas meninggalkan siri itu beberapa tahun lalu.

William Petersen menjadi peneraju siri CSI pada sembilan musim awal sebelum diambil alih Marg Helgenberger sehingga musim ke-12.

“Sememangnya kami amat bersedih dengan keputusan ini,” ujar Nina Tassler, Pengerusi CBS Entertainment dalam kenyataan rasmi laman syarikat itu.

Drama ikonik ini mempunyai 3 siri spinoffdalam tempoh 16 tahun. CSI: Miami bertahan sehingga musim ke-10, CSI: NY (9 Musim) dan CSI: Cyber mula ditayangkan pada Mac tahun ini.

CSI pernah dinobatkan sebagai salah satu drama siri paling popular dengan jumlah penonton melebihi 73.8 juta di seluruh dunia. Pada tahun 2012, CSI diangkat sebagai siri televisyen paling popular di dunia buat kali kelima di Festival Televisyen Monte-Carlo. 

- Sumber: Astro Awani 

"Apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?" - Ahmad Maslan

AHMAD: Jangan hina arwah ayah saya

KUALA LUMPUR: "Kenapa sampai keterlaluan begini pihak berkenaan buat saya, apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?"

Itu penjelasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan rasa kesal kerana nama arwah ayahnya dinamakan dalam permainan telefon pintar Android.

"Ayah saya sudah tiada; tolong jangan hina dia. Maslan adalah seorang penoreh getah yang miskin dan buta huruf," katanya kepada Astro AWANI yang turut dimuatkan di dalam catatan Twitter terbaharunya.

Astro AWANI mendapati, permainan baharu Maslan yang dinamakan 'MASLAN 3.85 Extended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanan WhatsApp pada Rabu.

Dalam pada itu, kata Ahmad, pihak pembangun permainan itu turut disifatkan tidak tahu namanya dan sengaja menamakan nama arwah ayahnya untuk terus memburukkan lagi situasi.

"Nama saya pun puak-puak ini tidak tahu," ujarnya.

“Ayah saya sudah tiada, tolong jangan hina dia ” - Ahmad Maslan

Ahmad sebelum ini dilaporkan kecewa apabila kebanyakan kenyataannya, terutama mengenai isu Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST), banyak diputarbelitkan beberapa pihak.

Kata Ahmad, walaupun kehidupannya sebagai seorang menteri banyak berubah selepas pelaksanaan GST kerana menjadi sasaran ditertawakan, namun sedar tanggungjawabnya untuk terus memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kebaikan GST.

Permainan 'MASLAN 3.85 Entended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanan WhatsApp pada Rabu. -Gambar fail


Permainan 'MASLAN 3.85 Entended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanana WhatsApp pada Rabu. -Gambar fail

Permintaan Ahmad kepada pihak berkenaan untuk tidak menghina arwah ayahnya turut mendapat reaksi daripada pengguna Twitter.

Rata-rata menyatakan simpati dan menganggap tindakan pihak berkenaan keterlaluan.

Ahmad sebelum ini turut dilaporkan tidak akan berhenti memberi maklumat mengenai GST walau banyak pihak memintanya berhenti bercakap mengenainya.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menegaskan Ahmad tidak bodoh dan berpendapat apa juga pandangan yang dilemparkan terhadap Ahmad oleh mana-mana pihak harus diterima sebagai aspek perbezaan pendapat semata-mata.

- Sumber: Astro Awani